Images
  • tourism malaysia
    (Gambar: malaysia.travel.sg/Facebook)

Tourism Malaysia lancar inisiatif bantu rakyat terkesan COVID-19 di S'pura

SINGAPURA: Dalam semangat sambutan Hari Malaysia, pejabat Tourism Malaysia di Singapura melancarkan inisiatif  'Food Donation Drive' bagi membantu rakyat Malaysia di Singapura yang terkesan oleh pandemik COVID-19 terutama mereka dalam sektor pelancongan di Singapura.

Bercakap kepada Bernama, Pengarah Tourism Malaysia Edzuar Zar Ayob Azari berkata buat masa ini inisiatif itu - dipanggil 'Tourism Malaysia-Singapore Cares Donation Drive' memberi tumpuan kepada rakyat Malaysia yang sebelum ini bekerja di agensi pelancongan di republik itu.

Edzuar berkata keadaan semasa industri pelancongan di Singapura yang terjejas oleh wabak itu menyaksikan agensi pelancongan mengurangkan jumlah kakitangan mereka yang turut melibatkan rakyat Malaysia.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban harian kira-kira 30 rakyat kita yang sebelum ini bekerja di agensi pelancongan terbabit,” katanya.

Menurut Edzuar, Tourism Malaysia-Singapura turut mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam menghubungkan badan korporat di Singapura bagi menjayakan inisiatif itu.

“Sokongan amat menggalakkan. Bukan sahaja badan korporat tetapi terdapat kira-kira 15 individu dalam kalangan rakyat Singapura turut menyumbang kepada inisiatif ini,” katanya.

Edzuar berkata 40 ahli Otai's Bikers Brotherhood turut memainkan peranan dengan membantu dalam menguruskan agihan sumbangan tersebut kepada isi rumah yang terkesan.

Beliau menambah inisiatif itu akan diteruskan pada penghujung tahun ini bagi membantu rakyat Malaysia dalam sektor perhotelan.

Menerusi inisiatif itu, mereka yang berkenaan menerima bantuan barangan seperti baucar pasar raya, makanan dalam tin, beras, minyak, mi segera dan barangan kering.

Pengumpulan sumbangan diadakan selama dua hari pada 5 dan 6 September lepas di pejabat Tourism Malaysia-Singapura di Robinson Road dan diagihkan kepada penerima pada 13 September lalu bersempena sambutan Hari Malaysia.

- BERNAMA/FZ/fz

Top