Images
  • Indo forest fire
    Gambar fail kebakara hutan dekat Banjarmasin di Kalimatan Selatan, Indonesia, 29 Sept 2019. (Gambar: Reuters/Willy Kurniawan)

Tompok panas dikesan, Jokowi arah pihak berkuasa siap hadapi kebakaran hutan

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini (22 Feb) berkata pihak berkuasa negara itu harus bersiap sedia bagi kemungkinan berlaku kebakaran hutan lewat tahun ini kerana tompok-tompok panas sudah dikesan di pulau Sumatera.

Negara Asia Tenggara itu mengalami antara kebakaran hutan terbesar di luar Amazon dan Congo dalam beberapa tahun kebelakangan ini, membawa risiko kepada haiwan-haiwan terancam seperti orangutan dan harimau dan menyebabkan jerebu di rantau itu.

"99 peratus kebakaran hutan adalah disebabkan manusia, sama ada mereka berniat melakukannya atau secara tidak sengaja," kata Encik Joko Widodo dalam satu mesyuarat maya dengan para pegawai.

Kegiatan pertanian di Indonesia banyak menggunakan api, yang merupakan cara murah untuk membersihkan ladang, menurut presiden itu, sambil menggesa pemerintah-pemerintah tempatan agar mempersiapkan prasarana mengawal kebakaran hutan.

Menurut Presiden Jokowi lagi, Sumatera berdepan risiko kebakaran hutan dalam bulan ini dan memberi amaran bahawa rantau Kalimantan di pulau Borneo serta pulau Sulawesi juga boleh menjangkakan kebakaran hutan dalam bulan Mei hingga Julai, dengan kemuncaknya dijangka antara Ogos dengan September.

Presiden Indonesia itu menambah, kebakaran tersebut boleh menyebabkan kerugian kewangan yang ketara dan "apa lagi kerosakan kepada ekologi dan ekosistem kita".

Bank Dunia menganggarkan teknik menggunakan api untuk membersihkan tanah bagi ladang kelapa sawit di Indonesia yang merupakan pengeluar terbesar komoditi itu, paling buruk berlaku pada tahun 2015, menyebabkan kerosakan bernilai AS$16.1 bilion (S$21.31 bilion).

Sementara itu, kebakaran hutan pada tahun 2019 menyebabkan kerugian dan kerosakan bernilai sekurang-kurangnya S$5.2 bilion (S$6.8 bilion), sama dengan 0.5 peratus hasil dalam negeri kasar, menurut Bank Dunia.

Agensi berita negara itu, Antara, memetik pegawai meteorologi, melaporkan bahawa jumlah tompok panas di wilayah Riau di Sumatera naik kepada 63 setakat hari ini berbanding sembilan sehari sebelumnya.

- Reuters/NK/nk

Top