Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tipu peniaga berhubung projek buka puasa masjid: Katerer dipenjara 2 tahun

Seorang katerer dijatuhi hukuman penjara dua tahun, denda RM5,000 (S$1,660) dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini (7 Feb). Ini selepas dia didapati bersalah menipu seorang peniaga pasar malam berhubung projek buka puasa di Masjid Khalid Al Walid.

Anggaran Waktu Membaca:
Tipu peniaga berhubung projek buka puasa masjid: Katerer dipenjara 2 tahun

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 07 Feb 2019 06:23PM Dikemas Kini : 07 Feb 2019 06:27PM

KUALA LUMPUR: Seorang katerer dijatuhi hukuman penjara dua tahun, denda RM5,000 (S$1,660) dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini (7 Feb). Ini selepas dia didapati bersalah menipu seorang peniaga pasar malam berhubung projek buka puasa di Masjid Khalid Al Walid, di Kementerian Pertahanan membabitkan kerugian RM15,000 (S$4,970), empat tahun lepas.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Kamarul Redzuan Roslan, 40 tahun, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh melalui peguam Mohd Shahril Madisa bagi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan sebatan sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai, dengan syarat wang jaminan terhadapnya ditambah daripada RM7,000 (S$2,300) kepada RM9,000 (S$2,980) berserta seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorellyna Hanim Abd Halim membantah permohonon penangguhan pelaksanaan hukuman itu manakala Encik Mohd Shahril yang mewakili tertuduh pula memohon penangguhan pelaksanaan hukuman dengan alasan anak guamnya mengalami masalah kesihatan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu Encik Zolkapeli Othman, 61, sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai sebanyak RM15,000 (S$4,970) kepadanya kerana percaya bahawa tertuduh dianugerahkan projek buka puasa daripada Masjid Khalid Al Walid, Kementerian Pertahanan, yang mana beliau tidak akan membuat bayaran tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Perbuatan itu dilakukan di masjid itu, di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 12.00 tengah hari, 29 Jun 2015, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam saksi manakala pembelaan mengemukakan tertuduh sebagai saksi tunggal.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan