Images
  • iphone scam
    Ini kandungan dalam kotak Iphone 6. (Gambar petikan skrin: ViralHog/Youtube)

Tipa tertipu: Bayar lebih S$100 untuk Iphone 6 tapi dapat ubi kentang!

WISCONSIN: Bayangkan anda membuka kotak Iphone yang baru saja dibeli dan mendapati ia diisi dengan ubi kentang! Tentu sekali perasaan ghairah sedetik lalu dengan serta-merta bertukar menjadi kemarahan.

Demikian berlaku kepada seorang wanita di Amerika Syarikat yang terpedaya oleh tawaran Iphone 6 yang terlalu murah sempena 'Black Friday' iaitu jualan murah secara besar-besaran yang berlangsung pada hari Jumaat, minggu keempat bulan November setiap tahun.


Malangnya, 'Black Friday' kali ini benar-benar suatu peristiwa hitam dan gelap bagi wanita tersebut yang menghabiskan AS$100 (S$135) bagi telefon bijak itu.

Menurut laporan Metro, wanita tersebut tertambat oleh sebuah van dengan label 'Black Friday Sale' yang mengelilingi kawasan perumahannya di Milwaukee, Wisconsin.

Melalui video yang dimuat naik di LiveLeak yang terkandung dalam laporan itu, wanita berkenaan keluar dari rumahnya untuk melihat barangan yang ditawarkan.

"Mereka menjual segalanya: pakaian, kasut, jam tangan, beg duit, rambut palsu, DVD, CD - semuanya - telefon, laptop. Jadi saya tanya jika ada Iphone 6," katanya.

Si penjual pun menjawab: "Ya. Hari ini saya akan tawarkan kepada anda hanya AS$100."

Penjual itu kemudian memberi wanita tersebut sebuah Iphone 6 yang masih kelihatan baru. Malah, telefon itu berbunyi apabila si penjual membuat panggilan untuk buktikan bahawa ia masih boleh digunakan.

Apatah lagi, katanya, Iphone 6 itu baru sahaja diaktifkan dan bil pertama akan diterima pada pertengahan Disember depan.

Wanita itu pun menyerahkan AS$100 kepada penjual yang memberinya kotak Iphone 6 yang baru beserta resit.

Namun, setibanya di rumah, wanita itu terperanjat apabila mendapati bahawa kotak itu diisi bukan satu tetapi sebelas keping ubi kentang.

Bukan itu sahaja, penjual terbabit turut membungkus ubi kentang tersebut bersama dengan pengecas telefon bijak Android.  

- Agensi berita/SM/sm

Top