Images
  • hezbollah hassan nasrallah
    Ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah, menyampaikan ucapan kepada para penyokongnya (Gambar: Reuters/Aziz Taher)

Tindakan tembak jatuh dron Israel cegah serangan, kata ketua Hezbollah

BEIRUT: Pemimpin Hezbollah pada Selasa (10 Sep) berkata gerakannya yang disokong Iran menembak jatuh dron Israel dalam ruang udara Lubnan buat pertama kali bagi mengukuhkan langkah pencegahan terhadap sebarang serangan dari seteru kuatnya Israel.

Hezbollah menyatakan ia menembak jatuh dan merampas dron Israel di selatan Lubnan pada Isnin selepas pertempuran di sempadan mencetuskan ketegangan antara kumpulan itu dengan Israel.

Kejadian itu berlaku seminggu selepas Hezbollah dan Israel terlibat dalam serangan terburuk di kawasan sempadan sejak peperangan pada 2006.

"Meskipun menghadapi ancaman dan ugutan, hari ini kita mengesahkan keseimbangan kuasa dan memperkukuh kuasa pencegahan yang melindungi negara kami," kata Hassan Nasrallah dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen.

Encik Nasrallah juga berkata tiada garis merah lagi dalam melindungi Lubnan dari tindakan agresif Israel.

"Demi mempertahankan Lubnan, kedaulatannya, keselamatannya dan maruahnya, tiada lagi garis merah," katanya.

Namun beliau menegaskan ini tidak bermakna Ketetapan 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menamatkan perang sebulan antara Israel dengan Hezbollah pada 2006, tidak akan dihormati.

Sebaliknya ia bermakna Lubnan dan rakyatnya mempunyai hak melindungi diri sendiri. 

- Reuters/TQ/tq

Top