Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tindakan keras diambil ke atas penjaja cenderamata haram, 'kiswa' palsu di Makkah

Pihak berkuasa Arab Saudi meningkatkan tindakan keras terhadap penghasilan dan penjualan tanpa kelulusan cenderamata yang mengandungi simbol-simbol agama, termasuk penghasilan 'kiswa' palsu yang dijual kepada pengunjung Makkah.

Anggaran Waktu Membaca:
Tindakan keras diambil ke atas penjaja cenderamata haram, 'kiswa' palsu di Makkah

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 09 Nov 2018 12:08AM Dikemas Kini : 09 Nov 2018 12:15AM

JEDDAH/MAKKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi meningkatkan tindakan keras terhadap penghasilan dan penjualan tanpa kelulusan cenderamata yang mengandungi simbol-simbol agama.

Para pegawai sebelum ini sudah memaklumkan kedai-kedai tentang pengharaman ke atas penjualan barang-barang sedemikian.

Jutaan jemaah yang mengunjungi Makkah akan membeli cenderamata dibawa pulang sebagai buah tangan buat rakan dan taulan serta dijadikan kenang-kenangan. Lantaran itu, menurut Saudi Gazette, tidak menghairankan penghasilan dan penjualan cenderamata adalah satu perniagaan yang lumayan. Industri ini juga banyak mengambil pekerja asing.

Baru-baru ini pihak berkuasa menumpukan perhatian mereka pada pembuatan cenderamata yang tidak diluluskan yang mempunyai simbol-simbol agama penting termasuk Kaabah.

Saudi Gazette melaporkan pada Isnin (5 Nov), bahawa para pegawai dari Majlis Bandaran Makkah, dengan sokongan pasukan keselamatan, menyerbu sebuah kilang jahitan yang menghasilkan kain bersulam yang kelihatan seperti kepingan kiswa (penutup hitam dan emas) Kaabah.

Di lokasi itu mereka menahan 20 tukang jahit dari pelbagai negara. Para pekerja asing tersebut menukarkan kediaman mereka di kawasan perumahan Al-Otaibiyah menjadi sebuah kilang haram untuk menjahit kiswa palsu dan cenderamata lain.

Para pegawai juga merampas 18 mesin jahit elektrik, lima mesin sulaman dan peralatan-peralatan lain serta kain yang banyak, menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak perbandaran itu.

Dalam serbuan tersebut, para pegawai merampas kepingan kain sutera hitam bersulam ayat-ayat Al-Qur'an dengan benang emas, menyerupai kepingan kiswa Kaaba.

Menurut Saudi Gazette lagi, tukang jahit mahir dari Bangladesh, India dan Burma bekerja di kilang tersebut. Ternyata mereka sedang cuba mengaut untung dengan menjual kepingan kain kepada jemaah yang tidak curiga dan ingin membeli kerana beranggapan kain-kain itu adalah penutup Kaaba.

Kain kiswa penutup Kaabah adalah salah satu simbol penghormatan yang paling penting di Rumah Allah itu. Sejarahnya berkait rapat dengan sejarah Kaabah itu sendiri.

Setiap kali kiswa digantikan dengan yang baru, lazimnya pada tanggal 9 Dhulhijjah setiap tahun, kiswa lama akan dipotong dan diberikan kepada orang kenamaan penting dari seluruh dunia sebagai cenderamata. Satu keping kiswa dipulihara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan