Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tindakan keras China di Xinjiang dikhuatiri jejas Jaluran Ekonomi Laluan Sutera

Meskipun para pedagang bebas bergerak di zon ekonomi khas Khorgos di sempadan Kazakhstan-China, tanda-tanda di pihak China bagaimanapun memberi amaran jelas: janggut dan tudung tidak dibenarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tindakan keras China di Xinjiang dikhuatiri jejas Jaluran Ekonomi Laluan Sutera

Kazakhstan dan China kongsi sempadan di Khorgos (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 29 Apr 2019 11:32PM Dikemas Kini : 29 Apr 2019 11:39PM

KHORGOS: Meskipun para pedagang bebas bergerak di zon ekonomi khas Khorgos di sempadan Kazakhstan-China, tanda-tanda di pihak China bagaimanapun memberi amaran jelas: janggut dan tudung tidak dibenarkan.

Ia menjadi peringatan kepada dasar-dasar kuku besi yang dikuatkuasakan China terhadap kaum minoriti Muslim di wilayah Xinjiang, yang dianggap penting kepada daya usaha Jaluran Ekonomi Laluan Sutera (BRI) yang diasaskan oleh Presiden Xi Jinping.

Beberapa insiden rusuhan, pengeboman dan tikaman yang didakwa didalangi kaum Uighur beberapa tahun kebelakangan ini dijadikan punca untuk pemerintah mengambil tindakan keras terhadap wilayah itu.

"BRI adalah faktor penting di sebalik seruan pemerintah pusat untuk mengawal wilayah Xinjiang," kata Adrian Zenz, seorang penyelidik bebas warga Jerman yang kajiannya memberi tumpuan kepada Xinjiang.

Langkah-langkah drastik termasuk meletakkan sekitar sejuta orang Uighur dan Muslim lain yang berbahasa Turki, termasuk warga etnik Kazakh dan Kyrgyz, dalam kem-kem tahanan yang disifatkan Beijing sebagai "pusat pendidikan vokasional".

Tindakan China itu meletakkan para pemimpin Asia Tengah dan Pakistan, yang menghadiri forum BRI di Beijing minggu ini, dalam keadaan serba salah.

Para penerima manfaat projek BRI pula cuba mengelakkan diri daripada mengutuk secara terang-terangan dasar-dasar China di Xinjiang meskipun rakyat mereka jelas tidak berpuas hati.

"Sejujurnya, saya tidak begitu tahu-menahu," kata Perdana Menteri Pakistan Imran Khan kepada Financial Times pada Mac apabila ditanya tentang cara masyarakat Uighur diperlakukan di China.

Kazakhstan pula menyatakan kemaslahatan etnik Kazakh di China adalah "faktor penting" dalam hubungannya dengan Beijing, namun pada masa yang sama, menyuarakan sokongan kepada usaha China menangani pengganasan, ekstremisme dan fahaman pemisah.

"Bagi negara-negara ini sangat sukar untuk mereka kerana mereka mempunyai rakan ekonomi yang hanya akan menjadi semakin besar dan kuat," kata Raffaello Pantucci, pengarah pengajian keselamatan antarabangsa di Royal United Services Institute.

KEMARAHAN AWAM

Pendirian yang ditunjukkan masyarakat jauh berbeza dengan yang ditunjukkan pemimpin mereka.

Misalnya di Pakistan, di mana terletaknya Koridor Ekonomi China-Pakistan bernilai berbilion dolar yang menghubungkan Xinjiang dengan pelabuhan Gwadar, para pedagang membantah penahanan isteri mereka yang merupakan kaum etnik Uighur di wilayah China.

Ali Ibrar, peniaga 39 tahun dari utara Pakistan yang isterinya berasal dari Xinjiang, terlibat dalam gerakan untuk menarik perhatian Islamabad kepada kes-kes salah laku di wilayah China itu.

"Pakistan bukan setakat berdiam diri tentang Muslim Uighur malah membantu dan bersubahat dengan China dengan memaksa orang seperti saya berdiam diri," kata beliau.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan