Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Timbalan Agong ziarah anggota bomba yang cedera parah dalam rusuhan kuil

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini (30 Nov) menziarahi Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights pada Selasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Timbalan Agong ziarah anggota bomba yang cedera parah dalam rusuhan kuil

Sultan Nazrin menziarahi Muhammad Adib, anggota bomba yang cedera dalam insiden rusuhan (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Nov 2018 02:38PM Dikemas Kini : 30 Nov 2018 02:42PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini (30 Nov) menziarahi Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights pada Selasa.

Sultan Nazrin berangkat tiba di pekarangan Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.00 pagi dan disambut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Muhammad Hamdan Wahid.

Sultan Nazrin meluangkan masa hampir setengah jam menziarahi Encik Muhammad Adib.

Dalam kunjungan itu, Sultan Nazrin diberi taklimat oleh doktor yang bertugas mengenai tahap kesihatan terkini Encik Muhammad Adib disamping menghulurkan sumbangan kepada keluarga anggota bomba terbabit.

Semalam, IJN dalam kenyataannya memaklumkan anggota bomba berusia 24 tahun itu sudah mula menunjukkan tanda-tanda sedar dan bertindak balas kepada beberapa arahan lisan bagaimanapun masih di bawah pemantauan rapi penggunaan sedatif untuk membolehkan organnya pulih.

Dalam kejadian awal pagi Selasa, Encik Muhammad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil berkenaan.

Encik Muhammad Adib yang mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan lain pada awalnya dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sebelum dipindahkan ke IJN lewat malam Selasa.

Insiden kekecohan di kuil itu yang berlaku kira-kira 2.30 pagi Isnin tercetus berikutan isu perpindahan tapak kuil itu ke lokasi baharu. Kejadian tertumpu di pekarangan kuil serta kawasan pusat membeli-belah One City pada hari berikutnya.

Sementara itu, Encik Muhammad Hamdan berkata Sultan Nazrin dalam kunjungannya menyatakan rasa sedih baginda terhadap insiden yang berlaku kepada Encik Muhammad Adib.

“Dalam kunjungan tadi, baginda bertitah bahawa baginda berasa sedih atas apa yang telah berlaku dan baginda turut mendoakan Muhammad Adib agar segera pulih dalam masa yang terdekat ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Encik Muhammad Hamdan berkata setakat ini pihak IJN, doktor pakar dan pegawai perubatan bertungkus lumus memberikan rawatan yang cukup intensif kepada Encik Muhammad Adib.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan