Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiga sekeluarga maut dipanah petir

Sepasang suami isteri bersama seorang anak mereka ditemui mati di sebuah kandang kambing di Felda Palong Enam dekat Jempol, Negeri Sembilan, dipercayai akibat dipanah petir petang semalam (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Tiga sekeluarga maut dipanah petir

(Gambar hiasan: Hector Retamal/AFP)

Diterbitkan : 06 Jun 2019 10:08AM Dikemas Kini : 06 Jun 2019 10:10AM

JEMPOL: Sepasang suami isteri bersama seorang anak mereka ditemui mati di sebuah kandang kambing di Felda Palong Enam dekat Jempol, Negeri Sembilan, dipercayai akibat dipanah petir petang semalam (4 Jun).

Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.00 petang itu, mangsa S. Elangovan, 38 tahun, P. Kaliammah, 36 tahun, dan anak lelaki mereka, E. Vinesh, tiga tahun, maut di tempat kejadian.

“Seorang lagi anak pasangan itu yang berusia sembilan tahun turut mengalami kecederaan di kaki dalam kejadian berkenaan.

“Kami menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 11.50 malam tadi dan sebaik tiba di lokasi kejadian, polis menemui tiga mayat dalam keadaan terduduk dan terbaring,” kata Encik Muhd Nur Hishamuddin.

Menurut beliau lagi, sebelum itu, seorang ahli keluarga mangsa meminta bantuan jiran untuk mencari mangsa kerana tidak pulang-pulang selepas pergi ke kandang berkenaan pada petang yang sama.

“Jiran yang ke kandang itu pada mulanya mendengar tangisan kanak-kanak yang cedera sebelum menemui tiga mangsa lain.

“Ketika kejadian, cuaca dipercayai hujan lebat dan petir sepanjang masa,” ujar Encik Muhd Nur Hishamuddin.

Beliau menambah pemeriksaan di kandang itu juga mendapati tujuh ekor kambing dan dua ekor anjing turut mati dengan kesan terbakar pada bulu haiwan-haiwan itu.

Encik Muhd Nur Hishamuddin berkata hasil bedah siasat ke atas semua mangsa pagi Rabu (5 Jun) mendapati mangsa mengalami kejutan elektrik akibat petir dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan