Images
  • handcuff (2)
    (Gambar fail: TODAY) 

Tiga remaja ditahan berhubung kematian pelajar tahfiz 7 tahun

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dihantar ke sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar di Lanchang, Temerloh, Kuantan, maut dengan kesan lebam pada tubuhnya semalam (7 Nov).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Othman Nanyan berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada 1.00 tengah hari semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang. 

Beliau berkata polis kini menahan tiga remaja berusia 13 tahun, yang juga pelajar di pusat tahfiz berkenaan, bagi membantu siasatan kematian mangsa. 

"Maklumat awal menyatakan mangsa ditemui dalam keadaan lemah oleh warden wanita pusat tahfiz itu, yang kemudiannya membawa mangsa ke klinik kesihatan tersebut. 

"Mangsa difahamkan baru belajar di situ sejak pertengahan Oktober lepas bersama-sama dengan abang tirinya," terang Encik Othman kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau menambah siasatan awal mendapati pusat tahfiz, yang beroperasi di sebuah rumah batu, mula mengambil pelajar sejak awal tahun ini. Buat masa ini, ia mempunyai empat pelajar termasuk mangsa. 

Pusat tahfiz tersebut dikendalikan oleh pasangan suami isteri dengan tenaga pengajarnya ialah suami kepada warden tersebut. 

Menurut Encik Othman, bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, hari ini. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top