Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiga ditahan kerana hina Sultan Muhammad V

Polis menahan tiga individu yang memuat naik di media sosial komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan beliau sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, kata Ketua Polis Negara Malaysia Mohamad Fuzi Harun.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiga ditahan kerana hina Sultan Muhammad V

Sultan Muhammad V. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 09 Jan 2019 06:48PM Dikemas Kini : 09 Jan 2019 06:51PM

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga individu yang memuat naik di media sosial komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan beliau sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, kata Ketua Polis Negara Malaysia Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata mereka yang ditahan untuk siasatan itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 dengan 46 tahun.

"Penahanan kesemua individu itu dibuat selepas kami menerima beberapa laporan polis berhubung tindakan pemilik akaun laman sosial terbabit yang memuat naik komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V.

"Mereka yang ditahan ialah pemilik dua akaun twitter (@azhamaktar dan @aliaastaman) serta seorang pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai Eric Liew," katanya dalam satu kenyataan hari ini (9 Jan).

Encik Mohamad Fuzi berkata ketiga-tiga individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut.

Beliau turut menasihati orang ramai agar menggunakan laman sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat provokatif berhubung peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 hingga mampu menimbulkan perspektif negatif terhadap institusi diraja.

Ahad lalu, Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa serta merta.

Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April 2017 selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Dis 2016.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan