Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tidak tinggal solat tahajud rahsia Nilia Nur raih 11A dalam SPM

Mendisiplinkan diri dengan tidak pernah meninggalkan solat tahajud dan solat hajat setiap malam adalah kunci kejayaan Nilia Nur Mohd Ramlan, 18, yang berjaya mendapat keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak tinggal solat tahajud rahsia Nilia Nur raih 11A dalam SPM

Serahan sijil keputusan SPM 2017 kepada Ketua Pegawai Eksekutif MTNP. (Gambar: MNTP/Facebook)

Diterbitkan : 15 Mar 2018 08:25PM Dikemas Kini : 15 Mar 2018 08:51PM

KUANTAN: Mendisiplinkan diri dengan tidak pernah meninggalkan solat tahajud dan solat hajat setiap malam adalah kunci kejayaan Nilia Nur Mohd Ramlan, 18, yang berjaya mendapat keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017. 

Bagi pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) itu, dorongan kuat daripada ibu bapanya yang tidak pernah memberi tekanan dalam soal pelajaran, membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk belajar bagi membuktikan dirinya mampu berjaya dan mengharumkan nama keluarga.

“Syukur Alhamdulillah sebab memang tidak sangka dapat keputusan 11A. Apa yang saya amalkan setiap hari menghafaz al-Quran serta berbuat baik kepada orang lain dan mungkin kerana itu Allah permudahkan saya untuk mencapai keputusan cemerlang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2017 Maahad Tahfiz Negeri Pahang di sini hari ini (15 Mac), yang turut dihadiri Pengurus Kanan Bahagian Operasi Yayasan Pahang Airulamri Amran dan Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang Datuk Zulkifle Ali Al-Hafiz.

Muhamamad Aliff Furqan Abdul Ghani, 18, yang muncul sebagai pelajar cemerlang sekolah berkenaan dengan turut memperoleh 11A, pula berkata faktor membahagikan masa dalam pelajaran dan bersukan amat penting untuk membolehkan pelajar aktif sepertinya memperoleh keputusan yang baik.

“Sekiranya waktu bersukan, saya akan fokus kepada aktiviti itu sahaja dan tidak mencampur-adukkan dengan pelajaran, begitu jugalah sebaliknya. Kebiasaannya saya lebih gemar belajar dalam keadaan senyap supaya pelajaran yang diulang kaji lebih mudah difahami,” katanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu juga merancang untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di University Of Cambridge, London.

Seorang  lagi pelajar yang memperoleh keputusan 11A, Muhammad Aiman Nasaruddin, 18, dari Temerloh, berkata bahawa memberi fokus kepada pelajaran yang sukar seperti Matematik Tambahan dan kerap bertanya kepada guru menjadi antara resepi kejayaannya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.

“Selain itu, banyakkan berdoa dan sentiasa cuba untuk dekatkan diri pada Allah. Ibadah juga jangan tinggal kerana bila kita ingat Allah, Allah akan ingat kita,” katanya yang ingin menyambung pengajiannya di  Universiti Islam Madinah dalam bidang Syariah.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan