Images
  • kembar
    (Amir Zulfadhli Zulkifly/Facebook)

Tidak sangka jumpa 'kembar' di majlis perkahwinan; video tular di media antarabangsa!

KUALA LUMPUR: Satu video yang merakamkan detik luar biasa di mana seorang lelaki bertemu dengan 'kembarnya' semasa majlis perkahwinan sahabat lamanya di Selangor pada Ahad (8 Sep), menjadi tular sehingga mendapat perhatian pihak media antarabangsa.

Menerusi video selama 36 saat yang dirakam oleh rakannya Amir Zulfadhli Zuklifly, Azly Yusof dilihat memerhati tetamu di pelamin yang seiras dirinya.

Malah, 'kembarnya' turut berpakaian kemeja-T berwarna merah, seluar jeans dan berkaca mata seperti Azly.

Video berkenaan turut merakam saat-saat kedua-dua jejaka itu bertentang mata sehingga menyebabkan para hadirin turut ketawa sama.

Insiden lucu itu turut dikongsikan di wadah-wadah online berita yang lain seperti yang berpangkalan di Britain, termasuk Daily Mail, the Sun dan Mirror.

Kisah itu turut dikongsi di laman online yang berpangkalan di Hong Kong serta laman media sosial 9GAG.

Encik Amir memberitahu Daily Mail bahawa Encik Azly dan 'kembarnya' sudahpun membuat rancangan untuk bertemu sekali lagi.

"Ini merupakan kali pertama mereka bertemu dan ia sangat menggelikan hati. Siapa sangka bahawa Azly dan kembarnya akan memakai kemeja-T berwarna merah," tambahnya.

Encik Amir berkata meskipun mereka memiliki wajah seiras dengan satu sama lain, namun mereka tidak mempunyai sebarang pertalian saudara.

Kami merancang agar mereka berdua dapat bertemu sekali lagi dan kali ini, kami akan mengambil gambar mereka secara bersama," katanya lagi. 

- Agensi berita/AI/ai

Top