Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tidak gunakan straw belum cukup untuk kekang pencemaran laut

Dianggarkan 8 juta tan sampah plastik dibuang ke laut setiap tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak gunakan straw belum cukup untuk kekang pencemaran laut
Diterbitkan : 26 Jul 2018 10:58AM Dikemas Kini : 26 Jul 2018 10:59AM

SINGAPURA: Apabila mengatakan tidak kepada penggunaan straw, ia berasa seperti satu usaha yang bermatlamat mengurangkan sampah di laut, tetapi gerakan global itu tidak banyak membantu mengekang pencemaran menurut para pakar.

Seorang pengamat industri memberitahu Mediacorp bahawa masalah sebenar berpunca daripada sistem pengurusan sampah yang tidak berkesan di negara-negara yang membuang sampah ke laut dengan banyak.

“Aspek terbaik yang boleh dikatakan mengenai tindakan menyeluruh untuk menghapuskan straw adalah ia baik bagi tingkatkan kesedaran, tetapi ia bukan huraiannya,” kata Steven Russell, presiden divisyen plastik, Majlis Kimia Amerika, yang mewakili para pengilang kimia dan plastik.

Encik Russell berada di Singapura awal bulan ini untuk mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat pengurusan sisa, plastik dan jenama-jenama pengguna tentang usaha bagi menghuraikan masalah-masalah pengurusan sisa.

Gerakan antiplastik dipercayai bermula pada 2015 menyusuli satu video viral yang memaparkan seekor penyu laut dengan straw tersendat di hidung haiwan itu.

Gerakan tersebut merebak ke seluruh dunia dengan bandar-bandar seperti Seattle dan Mumbai serta syarikat-syarikat seperti Starbucks dan Ikea tidak lagi menerima penggunaan straw yang tidak mesra alam.

Keadaan yang serupa turut berlaku di Singapura di mana KFC adalah antara entiti, termasuk Millennium Hotels dan Common Man Coffee Roasters melakukan perkara yang sama.

Encik Russell berpandangan bahawa gerakan berkenaan boleh membuat syarikat-syarikat dan para individu leka, dengan mereka percaya bahawa mereka sudah melakukan secukupnya untuk menyelamatkan laut.

Dalam satu laporan baru-baru ini, di laman phys.org sepasang saintis Australia menganggarkan bahawa terdapat sehingga 8.3 bilion straw di tepi pantai merata dunia.

Meskipun ia kelihatan seperti satu jumlah yang besar, namun kesemua straw hanya membentuk 1 peratus daripada 8 juta tan plastik yang dianggarkan dibuang ke laut dalam satu-satu tahun. Plastik membentuk sebanyak 80 peratus sampah laut.

Sementara itu, Cik Olivia Choong, pengasas bersama kumpulan alam sekitar, Green Drinks Singapore, berkata bahawa gerakan sedia ada itu “tidak berkesan dalam pengurusan sampah laut”.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa straw adalah “titik permulaan yang baik” dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik.

Pengasas Plastic-Lite Singapore, Aarti Giri bersetuju dengan berkata bahawa gerakan tersebut adalah “satu langkah permulaan yang amat baik”.

Beliau menarik perhatian bahawa straw adalah dalam kalangan 10 benda yang dibuang sebarangan di tepi laut dan laluan air dan pengurangan penggunaannya “akan membantu” mengurangkan sampah plastik di laut serta kesan bahaya terhadap kehidupan marin.

Sumber : CNA/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan