Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tidak boleh turunkan cukai dan naikkan subsidi serentak kata PM Mahathir

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata permintaan supaya kerajaan menurunkan kadar cukai dan pada masa yang sama menaikkan subsidi tidak mungkin dapat dilaksanakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak boleh turunkan cukai dan naikkan subsidi serentak kata PM Mahathir

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 Oct 2019 06:23PM Dikemas Kini : 10 Oct 2019 06:25PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata permintaan supaya kerajaan menurunkan kadar cukai dan pada masa yang sama menaikkan subsidi tidak mungkin dapat dilaksanakan.

Beliau berkata harus ada keseimbangan antara cukai dengan subsidi agar kerajaan dapat menjana pendapatan dan memberi subsidi.

“Saya baca di surat khabar bahawa rakyat inginkan cukai yang lebih rendah dan menaikkan subsidi. Kami tidak boleh beri cukai yang lebih rendah dan menaikkan subsidi.

"Perlu ada keseimbangan antara kedua-duanya. Kami cuba mengurangkan cukai, namun kerajaan mesti mempunyai wang.

"Jika nak beri subsidi, kerajaan perlu ada wang. Jika turunkan terlalu rendah, kami tidak mempunyai wang dan tidak boleh memberi subsidi," ulasnya kepada pemberita ketika ditanya mengenai jangkaan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat (11 Okt).

Dr Mahathir berkata demikian apabila merujuk kepada senarai harapan pra-Belanjawan 2020 yang dijalankan oleh media. Ia mendapati responden mahukan cukai lebih rendah dan subsidi lebih tinggi terutama bagi barangan keperluan termasuk beras, tepung, minyak masak serta lain-lain.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerajaan sedang cuba untuk mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada orang kaya, yang merupakan prinsip dalam sistem percukaian Malaysia, manakala subsidi hanya diberikan kepada yang layak.

"Subsidi tidak diberikan kepada semua orang, ia mesti diberikan kepada kumpulan yang layak.

"Dalam kalangan B40 sendiri terdapat mereka yang tidak memerlukan subsidi dan kami akan mengkaji secara teliti siapa yang harus menerima subsidi daripada kerajaan," katanya.

Sementara itu, mengenai tawaran untuk pengambilalihan konsesi lebuh raya bertol PLUS Malaysia Bhd, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu menilai semua cadangan dengan rapi.

"Terdapat banyak cadangan untuk mengambil alih PLUS namun kerajaan perlu memastikan wang kerajaan digunakan dengan bijak, bukan hanya kerana kita mahu melindungi kerajaan atau menentang pembida tertentu.

"Ia mesti dinilai dengan baik dan jika tawaran sektor swasta itu baik, kami akan mempertimbangkannya," ujar Dr Mahathir.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan