Images
  • World

Tidak boleh jual air zam zam; boleh dihukum penjara

KUALA LUMPUR: Selaras dengan larangan Kerajaan Arab Saudi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi.

Tegasnya, penjualan air zam zam tidak dibenarkan di Malaysia, menurut laporan Astro Awani.

"Selaras dengan ini, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil dua tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983.

"Hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan sejak tahun 2012 sehingga 31 Okt 2017 di seluruh negara, sejumlah air zam zam bernilai RM58,191.80 (S$19287) telah dirampas. KKM sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam.

"Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 (S$3310) atau penjara tidak melebihi dua tahun," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini (9 Dis), seperti yang dipetik Astro Awani.

Jelas beliau, air zam zam diperolehi dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semula jadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport," tambahnya, lapor Astro Awani.

- Agensi berita/NK/nk

Top