Images
  • masjid negara malaysia
    Gambar fail Masjid Negara Malaysia. (Gambar: Reuters/Lim Huey Teng)

Tiada solat Jumaat & solat lima waktu di masjid; nikah secara sidang video semasa PKP

KUALA LUMPUR: Solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid serta surau di Selangor ditangguhkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari mulai Rabu (13 Jan).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad berkata solat Jumaat digantikan dengan solat zuhur di rumah masing-masing sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun katanya, hanya lima petugas masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau dibenarkan menunaikan solat Jumaat serta solat fardu secara berjemaah pada setiap waktu.

Bagi majlis akad nikah pula katanya, ia akan dijalankan secara sidang video hanya buat pasangan yang sudah mendapat kebenaran berkahwin dan tarikh janji temu akad nikah oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) atau di masjid pengurusan.

“Pelaksanaan akad nikah secara sidang video akan dilakukan pendaftar yang berada di PAID manakala pengantin, wali dan dua saksi berada di rumah. Pegawai Tadbir Agama (PTA) setiap daerah akan menetapkan pelaksanaan majlis akad nikah berdasarkan janji temu yang telah diatur,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Encik Mohd Shahzihan berkata perkhidmatan utama JAIS khususnya melibatkan urusan nikah, cerai dan rujuk dilakukan secara online selain 10 kaunter talian telefon untuk konsultasi dan urusan janji temu dibuka.

- Bernama/NK/nk

Top