Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada rekod Musa, Jamal keluar M'sia

Tiada rekod ke luar negara melibatkan mantan Ketua Menteri Sabah Musa Aman dan Ketua UMNO Sungai Besar Jamal Md Yunos, kata Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada rekod Musa, Jamal keluar M'sia

Encik Jamal Yunos. (Gambar fail BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Jun 2018 10:14PM Dikemas Kini : 01 Jun 2018 10:51PM

PUTRAJAYA: Tiada rekod ke luar negara melibatkan mantan Ketua Menteri Sabah Musa Aman dan Ketua UMNO Sungai Besar Jamal Md Yunos, kata Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali.

Beliau berkata kedua-dua individu itu juga sudah disenarai hitam daripada keluar negara dan jika mereka didapati ke luar negara tanpa rekod, ia merupakan satu kesalahan.

"Kita tidak tahu keberadaan mereka. Itu ada orang kata terlihat mirip Musa di luar negara. Imigresen macam mana hendak tahu sebab kita tiada rekod keluar bagi mereka.

"Kalau keluar tanpa rekod itu satu kesalahan dan mereka akan diambil tindakan," kata beliau mengulas laporan yang mendakwa individu mirip Encik Musa kelihatan di London manakala Encik Jamal pula dikatakan berada di Indonesia.

Dalam sidang media hari ini (1 Jun), Encik Mustafar berkata jika mereka keluar menerusi pintu tidak sah, ia menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/1963. 

Semalam (31 Mei), Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta kerjasama pihak berkuasa Indonesia untuk membantu memburu Encik Jamal, yang dikatakan melarikan diri ke Indonesia.

Dalam satu rakaman video berlatar belakangkan kebun kelapa sawit, Encik Jamal meminta Encik Muhyiddin memberi jaminan perlindungan kepadanya kerana mendakwa dirinya dianiaya.

Sebelum itu, Encik Jamal juga gagal hadir di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya, selepas berjanji untuk tampil memberi kerjasama kepada pihak polis bagi membantu beberapa kes termasuk dakwaan mempamerkan senjata api pada khalayak umum.

Sementara itu, seorang pengguna laman sosial Facebook mendakwa melihat kelibat Encik Musa di Stesen Kereta Api St Pancras International, London.

Encik Musa dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan