Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada perbuatan 'kuda-menguda' dalam Pakatan Harapan, kata Mat Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Malaysia Mohamad Sabu menegaskan tiada perbuatan ‘kuda menguda’ atau memperguna antara satu sama lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada perbuatan 'kuda-menguda' dalam Pakatan Harapan, kata Mat Sabu

Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu (empat dari kanan) yang juga Presiden Parti Amanah Nasional di Konvensyen Parti Amanah Negeri Melaka pada 10 Nov 2019. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Nov 2019 05:17PM Dikemas Kini : 10 Nov 2019 05:18PM

MELAKA: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Malaysia Mohamad Sabu menegaskan tiada perbuatan ‘kuda menguda’ atau memperguna antara satu sama lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Encik Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan, berkata parti dalam PH - iaitu PKR, DAP, Bersatu serta Amanah - mempunyai kerjasama yang erat dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat dan beliau yakin hubungan itu akan kekal kukuh sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Sebarang isu termasuk berbeza pandangan kita selesai dalam mesyuarat sama ada politik dalam Majlis Tertinggi PH atau kerajaan dalam Kabinet. Setelah dibincang, diambil keputusan dan bila Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) umum, itu keputusan kita bersama.

"Tidak sukar (bekerjasama), cuma berbeza pandangan adalah perkara biasa yang akhirnya keputusan itu dibuat bersama. Saya yakin melalui kerjasama ini, PH akan menang PRU15 nanti kerana kita telah memberi khidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Melaka hari ini (10 Nov).

Ketika berucap dalam acara perasmian konvensyen tersebut, Encik Mohamad menyeru rakyat Malaysia supaya menyokong pakatan serta pemimpin yang mampu menjaga rakyat dengan baik tanpa mengira kaum.

Beliau juga mengingatkan rakyat khususnya anggota parti Amanah supaya tidak mempercayai hasutan yang dimainkan pihak pembangkang terutama yang berbaur perkauman.

Encik Mohamad juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya menghargai pengorbanan anggota keselamatan dalam memastikan keamanan di negara itu kerana tanpa pengorbanan tersebut, rakyat tidak akan dapat menikmati keselesaan hidup seperti sekarang. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan