Images
  • Banjir
    Petikan gambar dari YouTube.

“Tiada masa untuk fikir tentang mati” - kata hero banjir besar di Jeddah

JEDDAH: Daud Saripada Balindong, seorang pemandu, tidak berfikir panjang untuk menyelamatkan seorang lelaki tua rakyat Saudi yang terperangkap di dalam sebuah kereta semasa berlaku banjir di Abruq AR Rughamah, Jeddah.

Insiden pada Selasa lalu (21 Nov) itu yang menjadi viral di media sosial serupa dengan keberanian seorang pekerja binaan Pakistan, Farman Ali Khan yang maut setelah menyelamatkan nyawa 14 rakyat Saudi semasa banjir di Jeddah pada tahun 2009, lapor Arab News.

Encik Daud memberitahu Arab News lelaki yang terperangkap itu berada dalam lingkungan usia 60-an tahun dan kelihatan tidak dapat keluar daripada keretanya.

“Ramai orang di keliling yang melarang saya daripada berenang ke tempat lelaki tersebut. Mereka sedang menunggu pasukan bomba tiba,” kata beliau.

Encik Daud menambah satu-satunya perkara yang beliau ingat pada ketika itu adalah ayat Quran yang bermaksud, “mereka yang menyelamatkan nyawa seseorang, sama seperti menyelamatkan seluruh manusia," kata beliau.

Apabila Encik Daud menghampiri lelaki tua berkenaan, beliau memberikan jaket keselamatan dan membantunya keluar daripada kereta sebelum kedua-duanya berenang ke tempat yang selamat. Lelaki tua itu kemudian mengucapkan terima kasih kepada Encik Daud dan mendoakan agar beliau diberi ganjaran oleh Allah, lapor laman Arab News.

“Tidak ada masa untuk memikirkan tentang mati dan saya tidak boleh setakat melihat orang lain berdepan dengan keadaan yang boleh membawa maut. Ini tidak bermakna saya mengatakan saya seorang wira. Ia hanya reaksi spontan yang didorong sifat kemanusiaan dan saya amat gembira dapat menyelamatkan nyawa lelaki itu,” kata beliau.

Menurut Encik Daud, beliau tidak layak menerima anugerah disebabkan apa yang dilakukannya.


Encik Daud, rakyat Filipina yang berusia 39 tahun yang juga bapa kepada tujuh orang anak, sudah bekerja di Arab Saudi selama tujuh tahun.

Beliau sudahpun menerima beberapa panggilan telefon daripada keluarganya di Filipina yang mengatakan mereka amat bangga dengan keberanian yang ditunjukkannya.

LAPORAN BERKAITAN:

- Agensi berita/NK/nk

Top