Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada lagi kilang kimia baru dibenarkan di Pasir Gudang, kata menteri

Sebarang permohonan untuk membina kilang kimia baru di Pasir Gudang tidak akan diluluskan lagi pada masa depan bagi memastikan pembangunan yang lebih lestari di kawasan terbabit.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada lagi kilang kimia baru dibenarkan di Pasir Gudang, kata menteri

(Gambar: Twitter/@AfifahCNA)

Diterbitkan : 02 Jul 2019 07:49AM Dikemas Kini : 02 Jul 2019 07:50AM

JOHOR BAHRU: Sebarang permohonan untuk membina kilang kimia baru di Pasir Gudang tidak akan diluluskan lagi pada masa depan bagi memastikan pembangunan yang lebih lestari di kawasan terbabit.

Semasa menegaskan perkara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata perancangan itu sudah dibincang bersama kerajaan negeri bagi memastikan Pasir Gudang membangun dengan lebih lestari pada masa depan.

“Perancangan (bandar) Pasir Gudang kena lebih lestari pada masa depan, kita tidak boleh luluskan lagi semua kilang-kilang kimia, tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas sesi townhall bersama pihak-pihak industri di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang di Johor Bahru pada Isnin (1 Jul).

Menurut beliau, terdapat 2,005 kilang di kawasan Pasir Gudang dengan 250 daripadanya adalah kilang kimia.

“Melihat kepada perkara itu, kita hari ini telah mengadakan perbincangan dengan pihak industri untuk melihat langkah-langkah segera yang boleh diambil dan langkah-langkah yang turut kita persetujui ialah setiap sekolah akan diberikan ‘pengesan gas’ oleh pihak industri dengan menjadikan sekolah terbabit anak angkat.

“Ini bagi memastikan pihak sekolah dapat mengambil bacaan secara berterusan dan cikgu akan diajar untuk menggunakannya.

“Kita juga akan kita memastikan Jabatan Alam Sekitar membuatkannya mandatori untuk kilang-kilang membekalkan pengesan gas ini dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu, Cik Yeo juga akan membentangkan kertas kabinet mengenai pemasangan sistem pemantauan bahan cemar automatik di Pasir Gudang, Jumaat ini bagi mendapatkan peruntukan.

“Bermaksud, selepas ini di Pasir Gudang, kita akan ada stesen sistem ini, di mana ia akan baca bacaan bahan cemar, bukan kualiti udara. Ini lebih spesifik dan rakyat Pasir Gudang boleh memeriksa secara dalam talian tahap bacaan itu,” kata beliau.

Dalam masa yang sama, pihak industri juga telah diminta untuk memberikan data-data berkaitan yang boleh digunakan oleh pihak kementerian melaksanakan analisis ‘loading capacity’ terhadap kawasan industri Pasir Gudang.

“Analisis 'loading capacity' ini akan mengambil masa empat hingga enam minggu, selepas itu kita mungkin akan adakan syarat-syarat lebih ketat daripada apa yang sedia ada sekarang untuk industri di Pasir Gudang,” katanya.

Analisis itu bertujuan untuk mendapatkan jumlah data bebanan sisa yang telah dilepaskan pihak industri ke udara, sungai dan sebagainya.

Ditanya mengenai jumlah kilang yang ditutup operasinya sejak insiden sesak nafas Khamis lepas, Cik Yeo berkata setakat ini, tiga kilang telah ditutup.

Di samping itu, lebih daripada 100 pemeriksaan telah dilaksanakan terhadap kilang-kilang di Pasir Gudang sejak peristiwa pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac.

Mengenai bilangan mangsa terbaru dalam insiden sesak nafas pula, Yeo berkata pada Isnin, empat pelajar dari empat buah sekolah dirujuk ke hospital setelah didapati mengalami simptom sesak nafas, muntah dan pening namun tiada yang masuk wad.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan