Images
  • msia covid (1)
    (Gambar: Mohd Rasfan/AFP) 

Tiada kompromi jika ingkar pakai pelitup mulai 1 Ogos, kata timbalan menteri M'sia

KEPALA BATAS: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang ingkar dengan arahan pemakaian pelitup muka yang diwajibkan semasa menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum mulai 1 Ogos ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Shabudin Yahaya berkata kompaun RM1,000 (S$323) di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) boleh dikenakan terhadap individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaru itu.

"Rakyat hanya perlu patuh dan ikut keputusan (kerajaan) untuk kepentingan seluruh negara. Memang tidak selesa (memakai pelitup muka), tapi ia dapat melindungi kita daripada dijangkiti," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan RM160,000 (S$51,670) kepada 32 buah masjid dalam Parlimen Tasek Gelugor semalam (30 Jul).

Beliau berkata pemakaian pelitup muka kini sudah menjadi kebiasaan baru bagi rakyat Malaysia sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19.

"Kita telah membudayakan pemakaian pelitup muka sejak awal penularan COVID-19 lagi. Lebih kurang lima bulan dah, takkan rakyat tak terbiasa. Jadi, kita tidak boleh terima alasan kalau rakyat kata tak biasa (pakai pelitup muka)," tegasnya.

Pada 23 Julai lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam selepas kes jangkitan pandemik COVID-19 kembali mencatat peningkatan di peringkat global, termasuk di Malaysia.

Sementara itu, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata Rang Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan COVID-19 akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung secepat mungkin.

"Sekarang ini kita memang dalam proses untuk menyediakan draf undang-undang sementara untuk mengawal COVID-19 melibatkan 14 kementerian berkaitan. Maklumat terperinci berhubung peraturan berkaitan akan dibincang dan dibentangkan secepat mungkin," katanya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERNAMA/AW/tq

Top