Images
  • arafah
    Para jemaah akan wukuf di Arafah hari ini (19 Jul). (Gambar: Arab News)

Tiada kes COVID-19 dalam kalangan jemaah Haji, dedah kementerian kesihatan Saudi

MINA: Tiada kes COVID-19 dikesan dalam kalangan jemaah ibadah Haji tahun ini, menurut para pegawai kesihatan Arab Saudi dalam satu sidang media di Makkah pada Ahad (18 Jul).

Para pegawai keselamatan, kesihatan dan kementerian Haji Arab Saudi berkata bahawa langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19 telah dilaksanakan sepenuhnya.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly berkata tiada kes dikesan sejauh ini.

Tambahnya, protokol kesihatan dan langkah-langkah pencegahan dapat memastikan musim Haji yang selamat.

Fasa pertama protokol itu dilaksanakan sebelum para jemaah tiba di Masjidil Haram di Makkah pada Sabtu (17 Jul) untuk permulaan Haji.

"Dalam fasa itu, kami memastikan semua jemaah sudah mendapat vaksin yang diperlukan," jelas Dr Al-Aly.

Fasa kedua pula melibatkan usaha menyebarkan kesedaran dalam kalangan jemaah dan memperkenalkan langkah berjaga-jaga.

"Oleh kerana para jemaah dari pelbagai negara, kempen kesedaran dilancarkan dalam pelbagai bahasa," tambah beliau.

Pada Ahad, para jemaah beribadah dan berehat di Mina sebelum berangkat ke Arafah pada pagi ini (19 Jul) untuk kemuncak ibadah Haji.

Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Hisham Saeed berkata pengawasan ketat dilaksanakan apabila membawa para jemaah, termasuk dari Mina ke Arafah antara 5.00 pagi dengan 8.00 pagi Isnin.

Sebanyak 71 khemah juga disediakan untuk menempatkan para jemaah, lapor Arab News.

Dr Al-Aly berkata terdapat 13 hospital di Makkah - tiga dalam kawasan tapak suci sementara lagi 10 di bandar Makkah.

Ini masuk tahun kedua berturut-turut jumlah jemaah Haji dihadkan kepada penduduk di Arab Saudi yang dipilih.

- Agensi berita/SM/sm

Top