Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada kerjasama antara BN dengan Mustapa di Dun Kelantan

Ketua Penerangan UMNO Encik Md Alwi Che Ahmad berkata tiada sebarang kerjasama membabitkan Barisan Nasional (BN) dengan Encik Mustapa Mohamed yang baru menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada kerjasama antara BN dengan Mustapa di Dun Kelantan

Encik Mustapa Mohamed. (Gambar: Mustapa Mohamed/Facebook)

Diterbitkan : 29 Oct 2018 02:49PM Dikemas Kini : 29 Oct 2018 02:52PM

KOTA BHARU: Ketua Penerangan UMNO Encik Md Alwi Che Ahmad berkata tiada sebarang kerjasama membabitkan Barisan Nasional (BN) dengan Encik Mustapa Mohamed yang baru menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Encik Md Alwi, yang juga Ketua Pembangkang DUN Kelantan berkata BN kekal menjadi pembangkang kepada Pakatan Harapan (PH) walaupun kedua-duanya berstatus pembangkang di negeri itu.

"Kita pembangkang kepada PH, tidak akan ada kerjasama pada saya. Tapi saya tak tahulah jika beliau (Mustapa) nak bekerjasama dengan kerajaan negeri sebab di sana (Parlimen) beliau kerajaan tapi di sini beliau pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim hari ini (29 Okt).

Mengulas lanjut, Encik Md Alwi berkata penyertaan Encik Mustapa ke dalam BERSATU bukanlah satu kehilangan besar kepada BN Kelantan.

"Pemergian beliau adalah perkara biasa. Masalah kita, kita terlalu memberi gambaran seolah-olah Encik Mustapa Mohamed ini adalah ikon dan segala-galanyanya, tetapi sebenarnya beliau bukan.

"Macam saya katalah, ku sangkakan permata rupanya kaca...," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan lebih ramai anggota UMNO akan mengikut jejak langkah Encik Mustapa menyertai BERSATU selepas ini, Encik Md Alwi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata setakat ini parti berkenaan masih utuh.

"Setakat ini tak ada cawangan dibubarkan walaupun kita dah kalah lima bulan. Anda pernah dengar ada cawangan UMNO dibubarkan di Malaysia atau ada ketua bahagian yang membubarkan bahagiannya?

"(Dengan keadaan semasa) apa yang menghalang mereka menyertai Bersatu sekarang? Ia jelas menunjukkan anggota UMNO masih utuh (dengan perjuangan parti)," katanya.

Jumaat lepas (26 Okt), Encik Mustapa, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Air Lanas menyertai BERSATU dan menyerahkan borang keahliannya kepada Pengerusi BERSATU yang juga Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis di Petaling Jaya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan