Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada jerebu rentas sempadan dari Indonesia ke negara-negara jiran, kata menteri

Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar berkata pada Ahad (8 Sep), tiada kejadian berulang jerebu rentas sempadan dari Indonesia ke negara-negara jiran, sedang Malaysia terus bergelut dengan masalah jerebu dan cuaca panas.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada jerebu rentas sempadan dari Indonesia ke negara-negara jiran, kata menteri

Beberapa bahagian Sarawak diselebungi pencemaran jerebu dari Kalimantan, Indonesia. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 09 Sep 2019 09:08PM Dikemas Kini : 09 Sep 2019 09:11PM

JAKARTA: Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar berkata pada Ahad (8 Sep), tiada kejadian berulang jerebu rentas sempadan dari Indonesia ke negara-negara jiran, sedang Malaysia terus bergelut dengan masalah jerebu dan cuaca panas.

Dalam catatan Facebooknya, menteri itu berkata bilangan tompok panas di Indonesia menunjukkan trend merosot.

"Jumlah tompok panas hari ini (Ahad) adalah sepertiga daripada yang didaftarkan pada 4 dan 5 September," katanya.

"Sudah dipastikan bahawa sehingga kini, tiada jerebu merentas sempadan Indonesia ke negara-negara jiran."

Cik Siti Nurbaya memberi komen tersebut dua hari selepas Malaysia menyatakan ia bakal menghantar surat diplomatik kepada Indonesia untuk menggesa negara itu supaya mengambil tindakan segera bagi menangani api kebakaran yang marak.

Buat sekian lama, negara-negara Asia Tenggara dibelenggu masalah jerebu setiap tahun yang disebabkan amalan pertanian melibatkan penebangan dan pembakaran kawasan ladang di pulau-pulau Kalimantan dan Sumatera, Indonesia

Menteri Indonesia itu pada Ahad mengatakan bahawa usaha untuk menangani kebakaran sedang dijalankan di semua kawasan tompok panas dengan kaedah "melawan kebakaran secara bersepadu" yang dihasilkan berikutan kebakaran dahsyat pada 2015.

Cik Siti Nurbaya menambah bahawa 99 peratus kebakaran hutan dan tanah di rantau ini disebabkan oleh kegiatan-kegiatan manusia.

Jabatan Kaji Cuaca Malaysia menyatakan minggu lalu bahawa jerebu yang menjejas beberapa bahagian negara tersebut berlaku setelah terdapat peningkatan tompok panas di Sumatera dan Kalimantan.

Ia menambah bahawa jerebu rentas sempadan dijangka berterusan sehingga tempoh monsun barat daya berakhir pada hujung September atau awal Oktober ini.

Bahagian barat semenanjung Malaysia dan beberapa kawasan di Sarawak sudah diselaputi jerebu.

MASJID-MASJID M'SIA TUNAI SOLAT SUNAT MINTA HUJAN

Sementera itu, semua masjid di seluruh Malaysia disaran melaksanakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangkan masalah jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara itu sekarang.

Untuk tujuan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Mohamad Nordin Ibrahim berkata pihaknya memohon kerjasama pentadbir agama Islam negeri.

"Jakim memohon jasa baik dan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri di seluruh Malaysia supaya meminta semua masjid di bawah pentadbiran masing-masing melaksanakan solat sunat Istisqa bagi tujuan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin (9 Sep).

Encik Mohamad Nordin berkata tiga masjid utama di bawah Jakim iaitu Masjid Negara, Kuala Lumpur, serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya melakukan solat sunat tersebut selepas solat Isyak. 

Sumber : CNA/BERNAMA/REUTERS/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan