Tiada jawatan tertinggi untuk Mustapa, kata Dr Mahathir
Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa tiada jawatan tertinggi kerajaan yang akan ditawarkan kepada mantan menteri kabinet Mustapa Mohamad, yang juga mantan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, selepas pemimpin itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
KOTA BHARU: Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, menegaskan bahawa tiada jawatan tertinggi kerajaan yang akan ditawarkan kepada mantan menteri kabinet Mustapa Mohamad, yang juga mantan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, selepas pemimpin itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Dr Mahathir berkata sudah menjadi dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak menawarkan jawatan bagi tempoh tertentu kepada mana-mana mantan pemimpin UMNO.
"Mereka mesti bersihkan diri daripada amalan kerajaan terdahulu dan (kami) akan melihat tempoh tertentu buat mereka (pegang jawatan)," kata beliau kepada para wartawan.
Dr Mahathir juga menjelaskan mana-mana pemimpin dan anggota UMNO yang berhasrat menyertai PH, walaupun pada masa yang sama, penyertaan mereka dialu-alukan tetapi perlu menerima prinsip yang diperjuangkan PH.
Menyentuh mengenai genap enam bulan kerajaan PH memerintah negara, Dr Mahathir berkata beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi kerajaan dan banyak perkara yang perlu diberi perhatian terutama dalam usaha membantu rakyat.
"Kalau tanya saya, memanglah tidak berpuas hati lagi tetapi usaha yang kita lakukan telah memperlihatkan rakyat gembira dan ceria terutama dalam usaha membasmi rasuah," katanya.
Dr Mahathir juga berkata berdasarkan prestasi keseluruhan anggota kabinet yang dibentuknya, beliau yakin menteri-menteri berkenaan akan sentiasa meningkatkan prestasi daripada semasa ke semasa.
"Saya sentiasa berjumpa dengan mereka dan berbincang mengenai bagaimana mereka boleh menyelesaikan permasalahan dan meningkatkan prestasi," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.