Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thailand sahkan lelaki diburu polis M'sia ditangkap

Seorang lelaki Narathiwat, yang dikehendaki polis Malaysia kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas ISIS ditangkap pihak berkuasa Thailand semalam (18 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand sahkan lelaki diburu polis M'sia ditangkap

Polis Malaysia memburu empat lelaki yang dikaitkan dengan ISIS. (Gambar: PDRM)

Diterbitkan : 19 Apr 2018 10:19PM Dikemas Kini : 19 Apr 2018 10:21PM

BANGKOK: Seorang lelaki Narathiwat, yang dikehendaki polis Malaysia kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas ISIS ditangkap pihak berkuasa Thailand semalam (18 Apr).

Penangkapan Awae Wae-ya, 37 tahun, dari daerah Cho Airong di selatan Thailand diumumkan Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan hari ini (19 Apr).

“Dia (Awae) sudah ditangkap dan pihak berkuasa Thailand sedang melakukan siasatan terhadapnya ketika ini,” kata beliau.

Jen Prawit bagaimanapun tidak mendedahkan di mana dan bila Awae ditangkap, tetapi lelaki itu dipercayai kini berada dalam tahanan pihak tentera di selatan Thailand.

Jen Prawit, yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Dalam Negeri berkata demikian apabila ditanya di mana lelaki itu ditangkap susulan kenyataan yang dikeluarkan polis Malaysia bahawa Awae disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas itu.

Selain Awae, polis Malaysia juga sedang memburu tiga rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Nor Farkhan Mohd Isa, 31 tahun, dari Skudai, Johor dan Muhamad Hanafi Yah, 51 tahun, serta Muhamad Faizal Muhamad Hanafi, 29 tahun, dari Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Kelantan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun dalam kenyataannya berkata bahawa empat lelaki itu “dianggap berbahaya.”

Menurut Jen Prawit, berdasarkan maklumat yang dikumpul pihaknya, dua daripada rakyat Malaysia itu tidak pernah berada di Thailand, manakala seorang lagi datang ke negara berkenaan kira-kira tiga tahun lalu.

Diminta mengulas laporan tentang rancangan ISIS menubuhkan rangkaian operatifnya di selatan Thailand, Jen Prawit berkata bahawa pihak berkuasa negaranya tidak bimbang kerana mereka sudahpun berjaya menggagalkan rancangan itu.

Beliau berharap pihak berkuasa Malaysia akan menyalurkan maklumat tentang ISIS atau perkara lain berhubung keselamatan kepada Thailand.

Menyentuh  tentang kesediaan Cho Airong berikutan pengumuman bahawa daerah itu akan dijadikan Zon Keselamatan pertama di selatan Thailand, Jen Prawit berkata bahawa daerah berkenaan dan para pegawainya sudah bersedia memainkan peranan itu.

Katanya, pihak berkuasa perlu berusaha ke arah mewujudkan kefahaman tentang Zon Keselamatan dalam kalangan penduduk daerah itu serta memastikan wujudnya penglibatan mereka untuk menjayakannya.

Selasa lalu (17 Apr), Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha mengumumkan bahawa daerah Cho Airong di Narathiwat dipilih menjadi Zon Keselamatan pertama di selatan Thailand.

Pelaksanaan Zon Keselamatan di Cho Airong, mungkin akhir bulan ini, merupakan satu daripada pencapaian penting dalam rundingan damai yang diusahakan Malaysia antara kerajaan Thailand dengan MARA Patani, yang terdiri daripada beberapa kumpulan  bersenjata di selatan Thailand.

Rundingan damai itu bermula lebih tiga tahun lalu. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan