Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thailand rancang sekurang-kurangnya 50% penduduk di 77 wilayah diberi vaksin COVID-19

 Thailand merancang sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk di Bangkok dan 76 wilayah menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang bulan depan sebagai persediaan untuk membuka kembali pintu sempadan negara kepada pelancong.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand rancang sekurang-kurangnya 50% penduduk di 77 wilayah diberi vaksin COVID-19

Penduduk di Thailand mendapatkan vaksin COVID-19. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 10:51PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 10:53PM

BANGKOK: Thailand merancang sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk di Bangkok dan 76 wilayah menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang bulan depan sebagai persediaan untuk membuka kembali pintu sempadan negara kepada pelancong.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata warga emas, individu yang menghidap tujuh jenis penyakit, wanita hamil dan rakyat Thailand berumur antara 12 hingga 18 tahun akan diberi vaksin.

"Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan menyuntik pelajar berusia 12 hingga 18 tahun dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Kumpulan ini akan menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Universiti Navamindradhiraj di daerah Dusit, mulai 21 September,” katanya pada taklimat harian COVID-19 hari ini (13 Sep).

Terkini, Thailand memberikan 40.27 juta dos vaksin COVID-19 termasuk 27.30 juta dos pertama.

Dalam usaha untuk menghidupkan kembali industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik, Thailand merancang membuka kembali Bangkok dan empat wilayah lain iaitu Chonburi, Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan dan Chiang Mai kepada pengunjung yang lengkap vaksin mulai bulan depan, meskipun jumlah kes baru COVID-19 masih di atas paras 10,000.

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata Thailand mencatatkan 13,637 kematian dari 1 April hingga 9 September termasuk 13,067 atau 95.82 peratus mangsa meninggal dunia di hospital dan 361 kes atau 2.65 peratus di luar hospital sementara yang lain 209 kes atau 1.53 tanpa maklumat.

"Seorang warga emas berusia 109 tahun dilaporkan sebagai korban jangkitan COVID-19 tertua dan kematian termuda bayi berusia 12 hari," katanya.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatatkan 12,583 kes baru dan 132 kematian, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 1,394,756 dan 14,485 kematian.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan