Images
  • vaccine vials
    Bebuli vaksin COVID-19. (Gambar: AP/Bruna Prado)

Thailand luluskan vaksin ketiga COVID-19

BANGKOK: Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand meluluskan kegunaan darurat vaksin dos tunggal COVID-19 keluaran gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) Johnson & Johnson (J&J).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul, berkata J&J adalah pengeluar vaksin ketiga yang mendapat kelulusan selepas vaksin AstraZeneca dan Sinovac yang kini digunakan dalam program vaksinasi di negara itu.

"Pengeluar vaksin COVID-19 lain dipelawa mengemukakan permohonan mereka di Thailand dan ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat," menurutnya dalam hantaran di laman Facebook.

Kira-Kira 96,000 orang di Thailand sudah menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 sejak program vaksinasi bermula pada 28 Februari lalu.

Setakat ini, lebih 5,800 orang diberikan suntikan vaksin sepenuhnya.

Ketua Setiausaha FDA, Paisal Dunkhum pula berkata syarikat Sputnik V dari Russia dan Sinopharm dari China sedang membuat persiapan untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kelulusan.

Thailand merancang untuk memvaksin sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk negara itu menjelang hujung tahun ini. 

- BERNAMA/NA/na

Top