Images
  • thailand
    (Gambar: Agensi berita)

Thailand luluskan pelan pikat sejuta hartawan warga asing

BANGKOK: Thailand pada Selasa (14 Sep) meluluskan beberapa langkah termasuk melonggarkan dasar imigresen dan menawarkan faedah cukai bertujuan menarik satu juta rakyat asing yang berpotensi tinggi dalam tempoh lima tahun.

Jurucakap kerajaan Thailand, Thanakorn Wangboonkongchana, berkata Kabinet pada Selasa secara dasarnya meluluskan langkah untuk menarik warga asing termasuk mereka yang kaya raya, pesara, pekerja jarak jauh dan profesional berkemahiran tinggi untuk tinggal lebih lama di Thailand.

"Kerajaan menjangkakan kumpulan ini menghasilkan 1 trilion baht (S$40.7 juta) dari 2022 hingga 2026. Ia juga menyediakan pelaburan 800 bilion baht (S$32.6 juta) dan 270 bilion baht (S$11 bilion) dalam pungutan cukai," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Encik Thanakorn berkata visa jangka panjang akan ditawarkan kepada rakyat asing berpotensi tinggi dan mereka dikecualikan daripada perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa imigresen setiap 90 hari.

Langkah-langkah lain termasuk semakan peruntukan yang membolehkan orang asing memiliki hartanah, dibenarkan bekerja untuk majikan dari dalam dan luar negera serta menikmati pengecualian cukai dan kastam, katanya.

“Kabinet juga meluluskan cadangan Pejabat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) untuk menilai pelan itu setiap lima tahun. Manfaat cukai dan hak milik tanah akan berakhir selepas lima tahun,” katanya.

Sementara itu, Kabinet juga meluluskan 946 juta baht (S$38.6 juta) untuk Persatuan Palang Merah Thailand membeli satu juta dos vaksin COVID-19 Moderna.

Timbalan jurucakap kerajaan, Traisulee Traisaranakul berkata vaksin itu akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi dan golongan rentan secara percuma.

Bangkok Post melaporkan bahawa Zuellig Pharma, pengedar sah Moderna di Thailand, mengenakan bayaran 940 baht (S$38) bagi setiap dos vaksin berkenaan. Dengan kos pengangkutan 26.75 baht (S$1.09) bagi setiap dos, harga setiap dos vaksin adalah 966.75 baht (S$39).

- BERNAMA/HA/ha

Top