Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thailand lulus vaksin COVID-19 Sinopharm bagi kegunaan kecemasan

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand pada Jumaat (28 Mei) meluluskan vaksin COVID-19 Sinopharm dari China untuk kegunaan kecemasan.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand lulus vaksin COVID-19 Sinopharm bagi kegunaan kecemasan

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 28 May 2021 08:31PM Dikemas Kini : 28 May 2021 08:32PM

BANGKOK: Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand pada Jumaat (28 Mei) meluluskan vaksin COVID-19 Sinopharm dari China untuk kegunaan kecemasan.

Setiausaha Agung FDA Dr Paisarn Dunkum mengumumkan vaksin Sinopharm adalah vaksin COVID-19 kelima yang diluluskan oleh Thailand selepas Sinovac, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna.

"Vaksin ini selamat dan berkesan. FDA telah meneliti dokumen yang dikemukakan sebelum meluluskannya untuk kegunaan kecemasan, ” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Dr Paisarn berkata FDA sedang mengkaji permohonan untuk dua vaksin COVID-19 - vaksin Coxavin dari India dan vaksin Sputnik dari Rusia.

Vaksin Sinopharm dihasilkan oleh Beijing Bio-Institute of Biological Products Co Ltd iaitu anak syarikat China National Biotec Group (CNBG).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meluluskan suntikan Sinopharm untuk penggunaan kecemasan mengatakan percubaan besar-besaran Fasa III menunjukkan bahawa dua dosnya, yang diberikan berselang 21 hari, menunjukkan 79 peratus keberkesanan terhadap jangkitan simptom, 14 hari atau lebih setelah melengkapkan dos kedua.

Vaksin Sinopharm diluluskan sehari selepas Akademi Diraja Chulabhorn (CRA) Thailand mengumumkan rancangannya untuk mendapatkan vaksin alternatif sebagai tambahan kepada vaksin lain yang diterima oleh kerajaan.

Sementara itu, institut penyelidikan CRA hari ini mengumumkan ia akan mengimport satu juta vaksin Sinopharm COVID-19.

Setiausaha Agungnya Dr Nithi Mahanonda berkata kumpulan vaksin pertama dijangka dihantar pada bulan Jun.

"CRA akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Awam mengenai pengedaran vaksin," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau menambah bahawa organisasi kerajaan dan swasta sudah menyatakan minat untuk membeli vaksin. 

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan