Images
  • thailand covid
    Orang ramai beratur menunggu giliran mendapatkan ujian tindak balas antigen. (Gambar: REUTERS)

Thailand lapor jumlah rekod kes COVID-19 paling tinggi empat hari berturut-turut

BANGKOK: Thailand melaporkan 11,784 jangkitan baru COVID-19 pada Isnin (19 Jul), iaitu jumlah rekod kes harian buat hari keempat berturut-turut.

Pasukan bertindak COVID-19 negara Asia Tenggara itu juga mengumumkan 81 kematian, menjadikan jumlah kematian kepada 3,422 dengan 415,170 kes dilaporkan setakat ini.

Pada Ahad (18 Jul), pemerintah Thailand mengumumkan sekatan-sekatan COVID-19 akan dilanjutkan termasuk sekatan perjalanan dan perintah berkurung di lagi tiga wilayah.

Pusat beli-belah juga akan ditutup dan perintah berkurung dari 9.00 malam hingga 4.00 pagi mulai Selasa (20 Jul) di wilayah Chonburi, Ayutthaya dan Chachoengsao, menurut pengumuman di Royal Gazaette.

Ia juga mengenakan arangan berkumpul di tempat awam ke atas seluruh negara, dengan hukuman maksimum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga 40,000 baht (S$1,652) atau kedua-duanya sekali.

Minggu lalu, kementerian kesihatan Thailand mengumumkan rancangan untuk mencampurkan vaksin COVID-19 Sinovac dengan AstraZeneca dalam program vaksin negara untuk meningkatkan daya tahan tubuh terhadap varian-varian koronavirus.

Pihak berkuasa menyatakan mereka akan memberi suntikan vaksin Sinovac sebagai dos pertama dan AstraZeneca sebagai dos kedua.

Pihak berkuasa Thailand yakin bahawa gabungan dua vaksin COVID-19 itu akan menambah daya tahan tubuh orang ramai terhadap koronavirus, khususnya varian Delta yang pertama kali dikesan di India dan sangat mudah dijangkiti.

Bagaimanapun, ketua saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihati agar kedua-dua vaksin itu tidak dicampurkan dan menyifatkannya sebagai "trend berbahaya" kerana kurangnya data mengenai kesannya terhadap kesihatan.  

- REUTERS/SM/sm

Top