Images
  • babi
    Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

Thailand hapuskan 200 babi cegah penularan demam babi Afrika

BANGKOK: Thailand menghapuskan lebih 200 ekor babi minggu ini ekoran kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan berlaku penularan demam babi Afrika di negara itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) yang memetik kenyataan pihak berkuasa pada Rabu (18 Sep).

Setakat ini, Thailand belum melaporkan sebarang penularan demam babi Afrika dalam kalangan haiwan ternakan itu meskipun negara jirannya iaitu Myanmar, Laos dan Kemboja sudahpun disahkan mempunyai kes penyakit berbahaya tersebut.

Jabatan ternakan Thailand berkata langkah itu adalah tindakan pencegahan selepas dua ekor babi mati secara misteri di utara wilayah Chiang Rai, kira-kira 20 kilometer dari Myanmar.

Kumpulan babi yang dibunuh berada dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan babi yang sakit dan mati itu.

Jabatan berkenaan menyatakan sampel darah dan tisu kedua-dua ekor babi sudahpun dihantar pada 16 September lalu ke sebuah makmal di wilayah Lampang untuk melihat sama ada ia dijangkiti virus demam babi Afrika.

Keputusan makmal boleh memakan masa kira-kira 14 hari.

Thailand diletak dalam keadaan berjaga-jaga sejak negara jirannya melaporkan penularan demam itu. Ia juga melarang import babi serta produknya dari Laos dan Myanmar.

Demam babi Afrika dikesan di Asia pada Ogos lalu di China, yang menghapuskan hampir 40 peratus haiwan tersebut di negara pengeluar terbesar di dunia itu. Sejak itu, ia merebak ke seluruh Asia dan menjejaskan Mongolia, Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Filipina.

Korea Selatan merupakan negara terbaru yang terjejas oleh penularan virus itu dan mengesahkan dua kes minggu ini. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top