Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thailand catat rekod baru kes COVID-19 buat 2 hari berturut-turut

Thailand pada Khamis (22 Jul) melaporkan 13,655 kes baru COVID-19, satu paras rekod buat dua hari berturut-turut yang membawa jumlah terkumpul jangkitan koronavirus di negara itu kepada 453,132 kes.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand catat rekod baru kes COVID-19 buat 2 hari berturut-turut

Seorang warga Thailand menjalani ujian swab. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 22 Jul 2021 03:22PM Dikemas Kini : 22 Jul 2021 03:24PM

BANGKOK: Thailand pada Khamis (22 Jul) melaporkan 13,655 kes baru COVID-19, satu paras rekod buat dua hari berturut-turut yang membawa jumlah terkumpul jangkitan koronavirus di negara itu kepada 453,132 kes.

Pasukan bertindak COVID-19 turut melaporkan lagi 87 kematian, menjadikan angka korban sebanyak 3,697 kematian.

Thailand sedang menghadapi lonjakan koronavirus yang menaikkan lagi jumlah jangkitan dan kematian ke paras rekod hampir setiap hari.

Pada Rabu, ketua Institut Vaksin Negara memohon maaf atas kelengahan pada pengagihan vaksin COVID-19 di negara itu dan mengatakan negara tersebut akan menyertai program COVAX yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendapatkan bekalan vaksin yang didermakan pada tahun depan.

"Mutasi (virus) adalah sesuatu yang sukar untuk diramal, yang mendorong penularan lebih pantas berbanding tahun lalu. Usaha pemerolehan vaksin tidak seiring dengan keadaan semasa," kata Nakorn Premsri.

Beliau menambah Thailand sedang dalam proses menyertai COVAX, dan beliau menjangkakan negara itu akan menerima vaksin menerusi inisiatif tersebut menjelang suku pertama 2022.

Thailand adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak menyertai COVAX. Kerajaan menyatakan pada Februari bahawa memandangkan Thailand dikategorikan sebagai negara berpendapatan sederhana, ia tidak akan mendapat vaksin percuma atau murah daripada program tersebut.

Kerajaan Thailand mendakwa pihaknya perlu membayar harga tinggi terlebih dahulu tanpa mengetahui vaksin mana yang akan diperolehi dan bila ia akan mendapatkannya.

Penjelasan itu kemudian dikritik apabila kerajaan segera mengimport vaksin Sinovac pada harga yang tinggi.

Thailand merancang untuk memberikan 100 juta suntikan vaksin pada tahun ini dan sudah menempah 105.5 juta dos daripada beberapa syarikat.

Daripada jumlah tersebut, 61 juta dos adalah vaksin AstraZeneca yang dihasilkan oleh Siam Bioscience - sebuah syarikat milik raja Thailand.

Bagaimanapun, keraguan baru timbul pada minggu lalu mengenai rancangan tersebut apabila didedahkan bahawa Siam Bioscience tidak mungkin dapat menyiapkan jumlah itu sepenuhnya hingga Mei 2022 disebabkan oleh masalah pengeluaran.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan