Images
  • thai swab test covid-19
    Seorang pekerja asing di Samut Sakhon, Thailand, jalani ujian swab COVID-19 pada 19 Dis 2020. (Gambar: Reuters/Panumas Sa)

Thailand catat kematian tertinggi COVID-19 dua hari berturut-turut

BANGKOK:Thailand mencatat 21 kes kematian baru akibat COVID-19, yang tertinggi bagi tempoh dua hari berturut-turut dan menjadikan jumlah kematian setakat ini ialah 245 sejak pandemik itu melanda negara tersebut pada Januari tahun lepas.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 1,940 kes baru COVID-19 termasuk 10 kes import, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 68,984 kes.

Jurucakap Pusat Pentadiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata kes kematian baru itu melibatkan 12 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 38 dan 88 tahun iaitu lapan di Bangkok, empat di Chiang Mai, masing-masing dua di Chonburi dan Lamphun serta masing-masing satu di Nakhon Pathom, Nakhon Sawan, Rayong, Tak dan Udon Thani.

Beliau berkata Bangkok mendahului senarai kes tertinggi dengan 539 jangkitan diikuti Nonthaburi (276) dan Samut Prakan (145).

Katanya varian UK B.117 yang mudah merebak telah menyebabkan sejumlah 40,121 kes direkodkan di negara itu dengan 151 kematian sejak 1 April lepas.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan meningkatkan pengesanan kes aktif di bawah bidang kuasanya dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“BMA akan melaksanakan pengesanan kes aktif di lima daerah mulai esok. Dengan pengesanan awal, kami berharap dapat mencegah penularan COVID-19 dengan mengesan dan mengasingkan kontak rapat untuk memutuskan rantaian penularan,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Ahad.

Mengenai vaksinasi, beliau berkata Thailand telah memvaksinasi hampir 1.5 juta rakyatnya setakat ini, kebanyakannya merupakan kakitangan perubatan barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi dengan vaksin Sinovac dan AstraZeneca COVID-19 yang diimport.

Kementerian Kesihatan Awam pula memaklumkan lebih 430,000 orang telah mendaftar untuk vaksinasi COVID-19 yang bermula pada Sabtu.

Inokulasi itu ditetapkan pada Jun untuk rakyat Thailand yang berusia 60 tahun dan ke atas dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang menghidap penyakit kronik.

Kementerian itu menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 16 juta orang di bawah fasa pertama pendaftaran.

- Bernama/SU/nk

Top