Images
  • bahrain footballer
    Gambar fail pemain bola sepak rakyat Bahrain Hakeem Al Araibi meninggalkan Mahkamah Jenayah di Bangkok, Thailand. (Gambar: Athit Perawongmetha/Reuters)

Thailand bebaskan pemain bola sepak Bahrain setelah permohonan ekstradisi digugurkan

BANGKOK: Thailand akan membebaskan pemain bola sepak warga Bahrain yang berstatus pelarian di Australia, yang diberkas lebih dua bulan lalu, menurut seorang pendakwa yang terlibat dalam kes tersebut. Ini setelah Bahrain menggugurkan percubaannya untuk memohon agar Hakeem Al Araibi diekstradisi ke negara itu.

Hakeem Al Araibi, 25 tahun, yang melarikan diri dari Bahrain pada 2014 dan menerima status pelarian di Australia, diberkas pada November di lapangan terbang Bangkok semasa sedang bermulan madu. Interpol mengeluarkan notis tersebut atas permintaan Bahrain.

Bagaimanapun, negara Timur Tengah itu sudah menarik balik permintaan tersebut, sekali gus membuka laluan kepada mahkamah Thai untuk meluluskan permohonan para pendakwa untuk menggugurkan kes tersebut, menurut seorang pegawai di Pejabat Peguam Negara Thai, Encik Chatchom Akapin.

Namun, belum jelas mengapa Bahrain memutuskan untuk menggugurkan permohonan ekstradisi itu. Pihak berkuasa Bahrain juga tidak mahu mengulas mengenai perkara tersebut.

Kementerian Ehwal Luar Thailand turut mendedahkan bahawa ia tidak mahu mengulas lebih lanjut.

Penahanan Araibi, yang digari tangannya semasa dihadapkan ke mahkamah pada minggu lalu, mencetuskan kritikan antarabangsa, dengan pihak berkuasa Australia dan para pemain bola sepak menggesa Thailand supaya membebaskannya. Menurut Araibi, beliau mungkin akan diseksa jika beliau diekstradisi ke Bahrain.

Menurut Araibi lagi, beliau ingin pulang ke Australia, di mana beliau sudah menetap di sana sejak 2014 dan bermain untuk kelab bola sepak Melbourne. 

- Reuters/NA/na

Top