Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thai Airways buka simulator penerbangan kepada awam bagi raih pendapatan

Penduduk tempatan yang merindui perjalanan menaiki kapal terbang ketika pandemik COVID-19 kini boleh ”melakukan perjalanan ''tanpa pergi ke luar negara dan menjalani kuarantin wajib - bertempat di kemudahan latihan Thai Airways International Public Company Limited (Thai Airways).

Anggaran Waktu Membaca:
Thai Airways buka simulator penerbangan kepada awam bagi raih pendapatan

Pesawat Thai Airways. (Gambar fail: ROSLAN RAHMAN / AFP)

Diterbitkan : 06 Oct 2020 09:02AM Dikemas Kini : 06 Oct 2020 09:05AM

BANGKOK: Penduduk tempatan yang merindui perjalanan menaiki kapal terbang ketika pandemik COVID-19 kini boleh ”melakukan perjalanan ''tanpa pergi ke luar negara dan menjalani kuarantin wajib - bertempat di kemudahan latihan Thai Airways International Public Company Limited (Thai Airways) di Jalan Vibhavadi Rangsit, Bangkok.

Thai Airways juga membuka kemudahan latihannya kepada orang ramai dan peminat penerbangan serta juruterbang yang berminat.

Naib Presiden untuk Pembangunan Sumber Penerbangan syarikat penerbangan itu, Kapten Chatree Pongsak, berkata projek ‘THAI Flying Experience & Beyond’ akan membolehkan pengunjung menikmati pengalaman mengendalikan simulator penerbangan dengan bayaran.

"Juruterbang dan pembantu juruterbang akan memenuhi kehendak pelanggan sepanjang sesi, dengan memilih daripada tiga pakej untuk merasai pengalaman tersebut," katanya.

Simulator penerbangan Airbus dan Boeing, dilengkapi dengan teknologi gerakan penuh, telah digunakan oleh juruterbang yang berpengalaman dan baharu untuk latihan. Tawaran itu terbuka kepada pengunjung, bermula pada 12,000 baht (S$521) setiap seorang selama 30 minit.

Pengunjung akan memasuki kokpit tiruan Airbus A380, Boeing 777-300ER, Boeing 747-400, atau Boeing 737-400, dan mengalami keterujaan menerbangkan sendiri pesawat.

Pengunjung juga boleh memilih lapangan terbang dan mengemudi pesawat melalui landasan dan pendaratan - dibantu oleh juruterbang dan instruktur simulator terlatih - dan menikmati pemandangan menarik dari atas menerusi kokpit.

Selain simulator penerbangan, pengunjung boleh mengunjungi restoran bertema syarikat penerbangan Thai Airways, "Royal Orchid Dining Experience", yang hanya beberapa ratus meter jaraknya, untuk menikmati hidangan dalam penerbangan.

Ketika Cik Amaraporn Jantarath, 42, tiba di restoran, kru kabin Thai Airways berpakaian seragam menyambutnya. Beliau 'mengimbas' pas masuk khasnya sebelum memasuki restoran, kelihatan beberapa kerusi telah diganti dengan tempat duduk pesawat yang berwarna-warni, dan beberapa bahagian enjin dan tayar lama dijadikan perabot untuk menambah suasana.

"Saya sering menjadi penumpang Thai Airways. Hiasan restoran dan pengalaman menjamu selera dalam penerbangan mengingatkan saya untuk terbang dan berjalan lagi. Saya telah berkunjung ke sini beberapa kali sejak pembukaannya pada awal September, dan saya suka makanan dan suasananya,” katanya kepada Bernama.

Cik Amaraporn adalah antara penumpang kerap syarikat penerbangan Thai Airways yang memberikan sokongan kepada syarikat yang sedang berhadapan cabaran terbesar dalam sejarah 60 tahunnya apabila COVID-19 dan sekatan perjalanan menjejaskan industri pelancongan.

"Ketika pertama kali mendengar mengenai restoran bertema syarikat penerbangan, saya memutuskan untuk (datang dan) memberi sokongan kepada mereka," katanya.

Pengarah Urusan Thai Airways Catering Varangkana Luerojvong berkata restoran itu mendapat sambutan yang baik dan melayani antara 400 hingga 500 pengunjung sehari sejak ia mula beroperasi pada awal bulan lalu (September).

"Kami mempunyai rancangan untuk mengubah pejabat lain menjadi ruang santapan dengan pengalaman makan yang serupa. Kami juga merancang untuk membuka restoran tujuh hari seminggu,” katanya

Menurut beliau Thai Airways merancang untuk menerbangkan penumpang dalam penerbangan persiaran selama dua jam di lokasi pelancongan utama seperti Doi Suthep di Chiang Mai, Thailand.

"Kami berharap perkhidmatan ini dapat memberikan pengalaman perjalanan yang unik kepada penumpang dan pada masa yang sama menjana pendapatan syarikat penerbangan," katanya.

Thai Airways juga merancang untuk memasarkan perniagaannya menjual 'Pa Tong Go' - doh goreng dengan kuah yang dihasilkan daripada ubi jalar ungu dan kastard telur - berikutan sambutan luar biasa.

Setiap kotak ‘Pa Tong Go’ berharga 50 baht boleh didapati di lima gerai makanannya di Bangkok. Setakat ini, perniagaan itu mencatatkan jumlah jualan bulanan sekitar 10 juta baht.

Thailand telah menghentikan penerbangan komersial sejak 4 April untuk membendung penyebaran COVID-19 dan sebahagian pesawatnya akan terus berada di daratan sehingga Oktober.

Bulan lalu, Mahkamah Muflis Pusat Thailand memerintahkan Thai Airways yang mengalami masalah kewangan untuk meneruskan rancangan penstrukturannya. Syarikat penerbangan itu mempunyai liabiliti sebanyak 332.2 bilion baht (S$14.5 bilion) pada Jun.

Sumber : Bernama/EM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan