Images
  • syafiq mardi
    Muhamad Syafiq Mardi mempersembahkan tesis beliau kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Singapura ke Republik Turki Jonathan Tow. (Gambar: Facebook/Singapore Embassy in Ankara)

Tesis Muhamad Syafiq Mardi tentang sejarah hubungan S'pura-Ottoman dipersembahkan kepada Kedutaan S'pura di Ankara

ANKARA: Seorang lepasan ijazah anak Melayu rakyat Singapura mendapat perhatian Kedutaan Singapura di Ankara, Turki baru-baru ini.

Ini selepas Muhamad Syafiq Mardi mempersembahkan tesis beliau bertajuk "Hubungan Ottoman-Singapura (1864-1923)" yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Turki kepada kedutaan tersebut pada 30 September lalu.

Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Singapura ke Republik Turki Jonathan Tow turut mengucapkan tahniah kepada lulusan Sarjana Sastera Jabatan Sejarah Islam Universiti Çukurova itu.

Tesis Syafiq yang dihasilkan dengan memanfaatkan Arkib Ottoman "mampu meningkatkan lagi pemahaman kita tentang sejarah hubungan Singapura-Ottoman," kata Encik Jonathan Tow dalam catatan Facebook Kedutaan Singapura di Ankara pada Isnin (11 Okt).


Syafiq yang sudah tujuh tahun menuntut di Turki, menyusuri sejarah hubungan Singapura dengan negara itu sejak awal 1864 apabila kedua-dua pihak pertama kali menjalin hubungan politik hingga ke 1923, iaitu tahun Republik Turki ditubuhkan.

Menurut tesis Syafiq, sepanjang tempoh itu, Singapura yang ditadbir di bawah kuasa British, dilantik sebagai pusat diplomatik disebabkan oleh lokasi dan statusnya sebagai hab Haji dan Umrah di rantau ini.

Mengakhiri catatannya di Facebook, Kedutaan Singapura di Ankara juga mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

"Kami mengucapkan yang terbaik buat Syafiq dalam apa jua yang dilakukannya dalam usaha masa depannya!" 

- BERITAmediacorp/sm

Top