Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terpisah lebih 240 hari, suami isteri warga emas ini hitung hari untuk bertemu di Johor

"Cinta tidak mengenal jarak, ia hadir tanpa sempadan benua, sinarnya memancar menjadi cahaya bintang."

Anggaran Waktu Membaca:
Terpisah lebih 240 hari, suami isteri warga emas ini hitung hari untuk bertemu di Johor

(Gambar ihsan Aishah Rahmat/Bernama)

Diterbitkan : 22 Nov 2020 06:18PM Dikemas Kini : 22 Nov 2020 06:34PM

SINGAPURA: "Cinta tidak mengenal jarak, ia hadir tanpa sempadan benua, sinarnya memancar menjadi cahaya bintang."

Terjemahan ungkapan oleh Gilbert Parker itu, mungkin adalah kata-kata yang paling sesuai untuk menggambarkan nasib Aishah Rahmat, yang terpisah selama lapan bulan daripada suaminya yang kini berada di Johor, Malaysia.

Malah, suaminya pula terpaksa tinggal sendirian di Johor Bahru kerana dua orang anak mereka turut berada di Singapura.

Apatah lagi, Ahad ini (22 Nov) merupakan hari jadi suaminya, Yaacob Moin yang berusia 63 tahun, yang juga merupakan seorang warga Singapura.

TERPISAH SELAMA LEBIH 243 HARI

Pada 15 Nov lalu, genap 243 hari pasangan itu terpisah akibat sekatan sempadan yang dikuatkuasakan di Malaysia dan Singapura.

Menulis dalam catatan Facebook pada tarikh itu, Cik Aishah berkata: "15.03.20 - 15.11.20. Hari ini genap 243 hari sejak saya terpisah sementara dengan suami. Kita semua diuji untuk bersabar dan tabah sehingga pandemik COVID-19 ini berakhir."

Sepanjang tempoh itu, suri rumah berusia 61 tahun itu menjadikan Facebook sebagai 'sahabat karib' beliau meluahkan kesedihannya terpaksa berpisah dengan suami tercinta.

Dalam wawancara bersama Bernama baru-baru ini, Cik Aishah berkata bahawa mereka berdua sepatutnya menunaikan umrah pada 13 Mac lalu namun hasratnya itu terkubur akibat pandemik yang berlaku.

"Kami baru sahaja hendak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum menerima panggilan daripada syarikat pengurusan umrah bahawa perjalanan kami dibatalkan," katanya.

Dua hari kemudian, Cik Aishah yang tidak mempunyai pas lawatan jangka panjang untuk tinggal di Malaysia selama lebih daripada 30 hari, perlu pulang ke Singapura.

“Saya tiada pilihan melainkan kekal berada di Singapura sebaik sahaja kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac,” katanya yang tinggal bersama sepupunya di Tampines sementara waktu.

Cik Aishah yang kerap berulang-alik ke Johor Bahru sejak 15 tahun lepas berkata beliau tidak menjangkakan tempoh PKP itu yang pada mulanya ditetapkan selama dua minggu, akan berlarutan sehingga lapan bulan.

SUAMI TIDAK DAPAT TATAP WAJAH ADIK BUAT KALI TERAKHIR

Lebih memilukan juga ialah apabila suaminya tidak dapat bertemu dengan adiknya Salim Moin, 59 tahun, yang juga merupakan bekas pemain bola sepak Singapura, buat kali terakhir apabila beliau meninggal dunia pada 7 Nov lalu di Singapura.

Gambar Encik Yaacob dan Encik Salim yang dikongsi oleh Cik Aishah. (Gambar: Twitter/ Bernama)

“Suami hanya menyaksikan pengebumian melalui panggilan video,” kata Cik Aishah yang turut berkongsi sekeping gambar Encik Yaacob dan Salim kepada Bernama pada kali terakhir mereka berjumpa pada majlis perkahwinan anak mereka di Singapura, pada Februari lalu.

Salim, pernah mewakili pasukan bola sepak kebangsaan The Lions bersama Fandi Ahmad di peringkat akhir Piala Malaysia 1980 bertemu Selangor yang dipimpin Allahyarham Mokhtar Dahari ketika itu.

Cik Aishah berkata sejak dikejutkan dengan berita kematian adik iparnya, beliau semakin bimbang akan kesihatan suaminya yang tinggal seorang diri dan sentiasa berpesan dan berdoa agar suaminya sentiasa sihat.

ISI MASA DENGAN TIMBA KEMAHIRAN IT

Bagi mengubat kesedihan dan mengisi masa, Cik Aishah berkata beliau menyertai pengajian agama secara dalam talian setiap hari sejak 20 Mac lalu.

“Saya juga manfaatkan ‘SkillFutureSG Credit’ yang disediakan pemerintah Singapura. Saya belajar tentang penggunaan komputer, telefon bimbit dan tablet,” katanya yang pernah bekerja sebagai setiausaha di beberapa syarikat antarabangsa.

Yang pasti, Cik Aishah menaruh harapan agar tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan akan tamat pada 31 Disember ini dan sekatan sempadan dapat dilonggarkan supaya beliau dapat bertemu semula dengan suaminya selepas sekian lama.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan