Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Terima ratusan surat rintihan rakyat, Agong nasihat semua pihak amalkan demokrasi musyawarah

“Ratusan pucuk surat telah beta terima daripada rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera" - Yang di-Pertuan Agong

Anggaran Waktu Membaca:
Terima ratusan surat rintihan rakyat, Agong nasihat semua pihak amalkan demokrasi musyawarah

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 12:43PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 12:44PM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

Justeru, Sultan Abdullah menyambut baik keterbukaan kerajaan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

“Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha-usaha ke arah merealisasikan pendekatan baru kerjasama dwipartisan antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baru dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara,” titah Sultan Abdullah sempana Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini (13 Ogos).

Menyifatkan kematangan seumpama itu didambakan seluruh rakyat, Sultan Abdullah berkata perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah ‘Keluarga Malaysia’, negara akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan.

“Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi biduk lalu kiambang bertaut, sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua,” kata Yang di-Pertuan Agong.

RATUSAN SURAT RINTIHAN DARI RAKYAT

Sultan Abdullah turut menyeru semua Ahli Parlimen agar mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara yang terlalu lama dibelenggu isu kesihatan dan kemurungan ekonomi.

Yang di-Pertuan Agong berkata sebarang bibit pertelingkahan hendaklah segera dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.

“Ratusan pucuk surat telah beta terima daripada rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

“Nasihat beta kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu,” seru Sultan Abdullah.

Bersempena sambutan Hari Malaysia yang bakal diraikan pada 16 Sep ini, Yang di-Pertuan Agong juga menyeru Ahli Parlimen dan seluruh rakyat supaya menghayati sejarah kemerdekaan dan pembentukan persekutuan Malaysia supaya sentiasa mempunyai asas patriotisme dan semangat mencintakan negara yang tinggi.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan