Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tentera rampas kuasa di Myanmar, isytihar keadaan darurat setahun

Kuasa pemerintahan diserahkan kepada panglima tentera Min Aung Hlaing, setelah Cik Aung San Suu Kyi dan pemimpin lain ditahan pagi ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera rampas kuasa di Myanmar, isytihar keadaan darurat setahun

Suasana lengang di Yangon pada 1 Feb 2021, susuli laporan rampasan kuasa tentera Myanmar (Gambar: AFP / STR)

Diterbitkan : 01 Feb 2021 11:30AM Dikemas Kini : 01 Feb 2021 11:33AM

YANGON: Tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa pada Isnin (1 Feb) terhadap pemerintah dilantik secara demokratik pimpinan pemenang Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi, yang ditahan bersama para pemimpin lain dari parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) dalam serbuan pada awal pagi.

Tentera menyatakan pihaknya telah melakukan penahanan sebagai tindak balas terhadap "penipuan dalam pilihan raya", dan menyerahkan kuasa kepada panglima tentera Min Aung Hlaing dan melaksanakan keadaan darurat selama satu tahun, menurut kenyataan yang disiarkan stesen televisyen milik tentera.

Talian telefon ke ibu kota Naypyitaw tidak dapat ditembusi dan penyiaran stesen TV negara terhenti beberapa jam sebelum parlimen dijadualkan bersidang untuk pertama kalinya sejak kemenangan besar NLD dalam pilihan raya pada November, yang dianggap sebagai pungutan suara bagi pemerintahan demokratik Cik Aung San Suu Kyi yang baru berkuasa.

Para askar mengambil kedudukan di dewan bandar di kota utama Yangon. Khidmat data internet dan telefon di kubu NLD terganggu, kata para penduduk.

Sambungan internet juga merosot secara mendadak, menurut khidmat pemantauan NetBlocks.

Penahanan Cik Aung San Suu Kyi dan pemimpin lain berlaku berikutan ketegangan yang meningkat selama beberapa hari antara pemerintah awam dengan tentera yang menimbulkan kebimbangan akan berlaku rampasan kuasa selepas pilihan raya. 

Sumber : Reuters/CNA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan