Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tentera Israel cederakan 77 penunjuk perasaan di sempadan Gaza

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 77 rakyat Palestin cedera akibat tembakan Israel dan enam daripada mereka berada dalam keadaan serius.

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Israel cederakan 77 penunjuk perasaan di sempadan Gaza

Tembakan tentera Israel cederakan penunjuk perasaan di Carikan Gaza pada 19 Okt (Gambar: AP)

Diterbitkan : 20 Oct 2018 12:00PM Dikemas Kini : 20 Oct 2018 01:00PM

CARIKAN GAZA: Ribuan warga Palestin berhimpun pada Jumaat (19 Okt) dalam satu tunjuk perasaan sepanjang sempadan Israel. Berpuluh-puluh dilaporkan mendekati dan membolosi pagar-pagar yang memisahkan Israel dan Gaza sedang Mesir pertingkatkan usaha untuk mencapai genjatan senjata yang kekal di antara Israel dengan wilayah di bawah pemerintahan Hamas itu.

Kumpulan militan Hamas memuji tunjuk perasaan itu sebagai satu cabaran terhadap Israel yang sedang pertimbangkan tindak balas ketenteraan besar-besaran, setelah roket yang dilancarkan dari Gaza pada Rabu memusnahkan sebuah rumah di selatan Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 77 rakyat Palestin cedera akibat tembakan Israel dan enam daripada mereka berada dalam keadaan serius.

"Ancaman Israel menggalakkan orang ramai untuk mengambil bahagian secara besar-besaran dalam protes itu," kata Fawzi Barhoum, jurucakap Hamas, yang mengadakan protes sejak Mac lalu.

Kehadiran ramai penunjuk perasaan mencabar usaha Mesir untuk menggesa Hamas untuk mengecilkan skala tunjuk perasaan dan mengekang mereka daripada mendekati dan menembusi pagar-pagar yang lantas mencetuskan tembakan Israel.

Sekurang-kurangnya 156 rakyat Palestin mati ditembak Israel sejak bantahan-bantahan bermula lebih enam bulan lalu, dan seorang askar Israel mati dibunuh oleh penembak rakyat Palestin.

Para penunjuk perasaan pada Jumaat membakar tayar dan membaling batu ke arah pagar yang dikawal ketat.

Saluran al-Aqsa menyiarkan rakaman rakyat Palestin memanjat pagar dan ada yang menceroboh masuk ke wilayah Israel. Sebilangan penunjuk perasaan menggunakan pemotong untuk merobohkan sebahagian penghadang.

Tentera Israel melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru hidup ke arah penunjuk perasaan.

Di selatan Carikan Gaza, sebuah pesawat melepaskan tembakan ke atas sekumpulan rakyat Palestin yang melepaskan layang-layang dan belon berapi ke arah Israel, berhampiran lokasi penunjuk perasaan, menurut tentera Israel.

Terdahulu pada Jumaat, utusan damai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel dan Palestin untuk menahan diri sebelum tunjuk-tunjuk perasaan itu berlaku.

"Memandangkan perarakan Gaza yang dirancang hari ini, saya menggesa semua pihak untuk mengawal diri, adakan tunjuk perasaan secara aman dan elakkan peningkatan ketegangan," kata Nickolay Mladenov dalam satu kenyataan. "PBB sedang bekerjasama dengan Mesir dan sekutunya untuk mengelakkan keganasan, serta menangani semua isu kemanusiaan dan menyokong pendamaian."

Para pegawai risikan Mesir bertemu dengan Hamas dan para pegawai Israel pada Khamis dalam usaha untuk mencapai gencatan senjata dan menghentikan tunjuk perasaan di sempadan yang sudah berlarutan berbulan-bulan lamanya.

Mesir dan PBB sudah berminggu-minggu merundingkan genjatan senjata antara Gaza dan Israel dalam satu usaha meredakan ketegangan di Carikan Gaza.

Hamas menyatakan tunjuk perasaan akan berterusan sehingga sekatan Mesir-Israel ke atas Palestin ditarik balik. Sekatan tersebut dikenakan sejak kumpulan itu menang pilihan raya dan mengambil alih pentadbiran Gaza daripada Penguasa Palestin pada 2007.

Tunjuk perasaan semakin hebat sejak beberapa minggu kebelakangan ini sedang rundingan gencatan senjata Mesir dan PBB gagal. Keganasan rentas sempadan awal minggu ini memburukkan lagi ketegangan.

Pada Rabu, sebuah roket dilancarkan dari Carikan Gaza, menghancurkan sebuah rumah di bandar Beersheba di Israel. Israel membalas dengan serangan udara dan menambah pasukan tentera di sepanjang sempadan.

Kabinet Keselamatan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bertekad untuk bertindak balas dengan lebih keras terhadap serangan rentas sempadan. Namun setakat ini ia menahan diri daripada tindakan lanjut, membayangkan bahawa pihaknya sedang memberi kesempatan kepada pihak Mesir untuk memulihkan keadaan.

Sumber : AP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan