Images
  • sultan pahang
    Sultan Pahang keenam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. (Gambar: Bernama)

Tengku Abdullah Sultan Pahang yang baru

PEKAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang keenam bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman berhubung pelantikan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baru dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam satu majlis khas di Istana Abu Bakar di Pekan hari ini. Pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang akan diadakan pada 15 Jan ini.

Cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan Sultan Ahmad Shah yang kini berada dalam keadaan sakit, dan dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam (12 Jan) setelah perbincangan diadakan di kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara.

"Dalam keadaan sedih, dan dukacita saya dan keluarga menerima hakikat bahawa paduka ayahanda saya tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai raja pemerintah.

"Menyedari keadaan ini, saya dan keluarga terdekat berpendapat untuk mencadangkan kepada Jumaah Pangkuan negeri supaya paduka kekanda saya Tengku Abdullah untuk dilantik sebagai pengganti kepada ayahanda Sultan Pahang," katanya dalam sidang media khas di Istana Abu Bakar hari ini (12 Jan).


(Gambar: BERNAMA)

SULTAN AHMAD SHAH SERAH TAKHTA SELEPAS HAMPIR 45 TAHUN

Sultan Ahmad Shah, 88 tahun, dilantik menjadi Sultan Pahang kelima pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan Abu Bakar dan istiadat pertabalan berlangsung di Balairong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 8 Mei 1975.

Diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan pada 24 Okt 1930, Sultan Ahmad Shah merupakan anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Almarhum Sultan Abu Bakar dengan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah. Baginda dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada 1944, ketika berusia 14 tahun.

Sultan Ahmad Shah dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Sept 1975 dan kemudian menjadi ketua negara apabila dipilih menjadi Yang di Pertuan Agong ketujuh yang memerintah negara pada 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Selepas tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda kembali menjadi pemerintah Pahang sehinggalah baginda jarang kelihatan di khalayak umum sejak kebelakangan ini kerana sakit dan kemudian menyerahkan jawatan itu untuk dipangku oleh anaknya, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah pada 28 Dis 2016. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top