Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tengkorak manusia ditemui di tepi lebuh raya Johor

Satu tengkorak manusia ditemui pekerja penyenggaraan lebuh raya di KM122.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah Yong Peng - Pagoh, dekat Batu Pahat, Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
Tengkorak manusia ditemui di tepi lebuh raya Johor

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 20 Feb 2021 10:19AM Dikemas Kini : 20 Feb 2021 10:22AM

BATU PAHAT: Satu tengkorak manusia ditemui pekerja penyenggaraan lebuh raya di KM122.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah Yong Peng - Pagoh, dekat Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah berkata tengkorak berkenaan dipercayai milik pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira 10 bulan lalu, iaitu sekitar Mei atau Jun 2020.

Katanya lagi, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada 1.10 tengah hari semalam (19 Feb) ketika pekerja berkenaan sedang melakukan kerja pembersihan longkang di cerunan tepi sebelah kiri lebuh raya.

“Tengkorak dijumpai berhampiran dengan sebuah kereta yang terlindung di sebalik semak bercerun, kira-kira 67 meter dari lebuh raya. 

“Dipercayai pemandunya hilang kawalan dan terbabas lalu terjatuh di bawah cerun lebuh raya ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini (20 Feb).

Jelas Encik Ismail, polis sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti mangsa melalui pemilik kenderaan yang sudah dikesan. 

“Pemilik kereta terbabit telah dikenal pasti dan polis kini sedang menunggu waris untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Dalam masa sama, siasatan turut dilakukan terhadap laporan orang hilang yang dilakukan pada Jun tahun lepas kerana berkemungkinan ada kaitan dengan kejadian kemalangan ini,” katanya.

Encik Ismail berkata tengkorak itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Patalogi, Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan