Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tempoh kritikal Dr Mahathir tadbir negara tanpa bantuan Kabinet: Pengamat

Seluruh perhatian kini tertumpu kepada Dr Mahathir Mohamad semasa beliau melaksanakan tugasnya sebagai perdana menteri sementara dalam mengharungi saat-saat kritikal, mengemudi pentadbiran negara tanpa bantuan Jemaah Menteri.

Anggaran Waktu Membaca:
Tempoh kritikal Dr Mahathir tadbir negara tanpa bantuan Kabinet: Pengamat

Gambar fail Dr Mahathir Mohamad memberi ucapan. (Gambar: Valdimir Smirnov/AFP/TASS Host Photo Agency)

Diterbitkan : 25 Feb 2020 10:42AM Dikemas Kini : 25 Feb 2020 10:44AM

KUALA LUMPUR: Seluruh perhatian kini tertumpu kepada Dr Mahathir Mohamad semasa beliau melaksanakan tugasnya sebagai perdana menteri sementara dalam mengharungi saat-saat kritikal, mengemudi pentadbiran negara tanpa bantuan Jemaah Menteri.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Dr Anuar Shah Bali Mahomed, berkata tempoh itu boleh berlanjutan sehingga tiga atau empat hari lagi selagi tiada ketetapan berhubung gabungan parti mana yang mempunyai majoriti dan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

“Pada ketika ini, kesemua parti politik berdepan tugas getir dalam mendapatkan sokongan parti lain dan bergabung membentuk pakatan baharu. Perkara ini memerlukan masa. Namun sementara menunggu ia diputuskan, Dr Mahathir selaku perdana menteri interim masih perlu menjalankan tugasnya.

“Jadi, adalah penting untuk parti politik segera mendapatkan sokongan atau bergabung dengan parti lain dan seterusnya membawa usul kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan. Di sinilah nanti perdana menteri yang baharu akan dipilih,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin (24 Feb), Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dilaporkan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara selepas menerima peletakan jawatannya.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir sudahpun meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh dan surat kepada Yang di-Pertuan Agong dihantar pada pukul 1.00 tengah hari semalam.

Dr Mahathir turut meletak jawatan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti itu juga sudahpun keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Negarawan berusia 94 tahun itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei 2018, selepas menerajui PH untuk menjatuhkan apa yang beliau gelar sebagai kerajaan kleptokratik.

TIADA PERUNTUKAN KHAS TEMPOH MASA JADI PERDANA MENTERI SEMENTARA

Mengikut perlembagaan, sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen diperlukan bagi memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Jelas Dr Anuar Shah, jumlah angka atau sokongan kepada sesuatu sokongan ini akan berubah-ubah selagi tiada ketetapan yang dibuat oleh seorang ‘teraju’ yang mewakili sesuatu gabungan baharu dalam membentuk kerajaan.

Beliau menegaskan keadaan ini seharusnya tidak akan mengambil masa yang panjang kerana ia boleh membawa negara kepada situasi yang tidak menentu.

Sementara itu, seorang peguam, Encik Salehuddin Saidin berkata tiada peruntukan khas di dalam Perlembagaan yang menentukan tempoh masa untuk seseorang itu menjadi perdana menteri sementara.

Justeru, ia terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.

“Hanya perdana menteri interim sahaja yang boleh mentadbir negara. Namun seharusnya ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana boleh menjejaskan ekonomi negara. Jadi, ini tanggungjawab semua parti politik untuk menyelesaikan atau mengubahnya,” tambah beliau. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan