Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Teka-teki belum terungkai, siapa dalam senarai 120 AP sokong Anwar?

Sesi menghadap Ketua Pembangkang Encik Anwar Ibrahim bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ditunggu-tunggu hari ini (13 Okt) masih tidak dapat merungkai ‘mainan’ angka yang kekal menjadi tanda tanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Teka-teki belum terungkai, siapa dalam senarai 120 AP sokong Anwar?

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 13 Oct 2020 09:16PM Dikemas Kini : 13 Oct 2020 09:19PM

KUALA LUMPUR: Sesi menghadap Ketua Pembangkang Encik Anwar Ibrahim bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ditunggu-tunggu hari ini (13 Okt) masih tidak dapat merungkai ‘mainan’ angka yang kekal menjadi tanda tanya.

Kehadirannya di Istana Negara pagi tadi ditambah sidang media 'pengumuman penting’ tidak berjaya memberi apa-apa bayangan kukuh mengenai sebarang perubahan kepada Kerajaan Persekutuan.

Malah persoalan mengenai senarai nama lebih 120 Ahli Parlimen yang didakwa Encik Anwar memberi sokongan kepadanya turut tidak terjawab, selepas ia tidak didedahkan dalam sidang media khasnya beberapa jam selepas sesi menghadap Seri Paduka.

Lebih menimbulkan tanda tanya, Istana Negara pula kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa Encik Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson hanya mengemukakan jumlah, tanpa senarai nama.

Presiden PKR itu dalam sidang media tersebut turut mendakwa bahawa Al-Sultan Abdullah memerlukan masa untuk memanggil semua ketua parti untuk mengesahkan dokumen 'sahih’ sokongan terhadapnya.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dari pihak Istana Negara mengenainya, namun tengah hari tadi dilaporkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat keluar dari Pintu Dua Istana Negara pada jam 2.40 petang.

Di sebalik episod politik yang berlaku hari ini, Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagaimanapun dilihat berfungsi seperti biasa dengan beliau menganjurkan sidang media maya khas bersama wartawan pada jam 5.00 petang.

Dalam pada itu, sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Encik Ismail Sabri Yaakob dan sidang media mengenai perkembangan COVID-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berjalan seperti biasa.

Angka '120’ ini mula menjadi perhatian rakyat Malaysia terutama pemerhati politik selepas Encik Anwar dalam satu sidang media pada 23 Sep lalu mendakwa mendapat sokongan yang 'kukuh dan meyakinkan' untuk membentuk kerajaan baru menggantikan kerajaan PN.

Pada hari sama, Encik Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan PN masih teguh dan beliau masih Perdana Menteri yang sah, sambil menambah bahawa Encik Anwar perlu membuktikan dakwaan berhubung sokongan majoriti diperolehinya mengikut proses dan kaedah ditentukan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Encik Muhyiddin dalam sesi bersama media hari ini menyatakan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah untuk membuat keputusan berhubung dakwaan Encik Anwar itu. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan