Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Taufan Hagibis ragut nyawa 11 mangsa; Jepun pergiat usaha menyelamat

Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh setelah Taufan Hagibis membadai Jepun, dengan diiringi hujan sangat lebat yang belum pernah disaksikan sebelum ini, menurut para pegawai hari ini (13 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Taufan Hagibis ragut nyawa 11 mangsa; Jepun pergiat usaha menyelamat

Rumah-rumah yang diranapkan oleh Taufan Hagibis di Ichihara, wilayah Chiba, pada 12 OKt 2019. (Gambar: Jiji Press/AFP)

Diterbitkan : 13 Oct 2019 02:18PM Dikemas Kini : 13 Oct 2019 02:21PM

TOKYO: Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh setelah Taufan Hagibis membadai Jepun, dengan diiringi hujan sangat lebat yang belum pernah disaksikan sebelum ini, menurut para pegawai hari ini (13 Okt).

Sebilangan daripada mereka terkorban akibat tanah runtuh, dan ada pula yang dihanyutkan oleh air bah ketika mereka berada dalam kereta, sedang air sungai melimpah-ruah menyusuli hujan yang turun dengan begitu lebat.

Setakat pagi Ahad, ribut tersebut sudah mula reda dan bergerak ke laut setelah menimpakan kerosakan harta benda, dan memaksa pihak penganjur Piala Dunia Ragbi untuk membatalkan satu lagi perlawanan.

Banjir besar-besaran dilaporkan di wilayah tengah Nagano, di mana tetambak yang musnah menyebabkan air melimpah dari sungai Chikuma hingga ke kawasan perumahan, setinggi paras tingkat dua.

Pasukan pertahanan Jepun mengerahkan helikopter untuk menyelamatkan para mangsa yang kelihatan mengibarkan tuala di balkoni untuk menarik perhatian.

"Sepanjang malam, kami telah mengeluarkan arahan berpindah kepada 427 keluarga, iaitu 1,417 individu," kata pegawai kecemasan Yasuhiro Yamaguchi di bandar Nagano kepada agensi berita AFP.

"Belum jelas berapa banyak rumah yang terjejas," katanya, sambil menambah, meskipun paras air sungai sudah tidak lagi meningkat, paras air di kawasan perumahan masih meningkat.

Video yang dirakam dari udara menunjukkan barisan kereta api laju separuh ditenggelami air berlumpur di sebuah depot di Nagano.

Sepanjang malam Sabtu (12 Okt), lebih tujuh juta orang diletakkan di bawah arahan berpindah tidak wajib. Berpuluh-puluh ribu penduduk mematuhi arahan itu dan berpindah ke tempat-tempat perlindungan sementara sehingga ribut reda.

Taufan Hagibis menyebabkan pengangkutan menjadi kelam-kabut sepanjang cuti panjang hujung minggu di Jepun. Penerbangan di kawasan sekitar Tokyo dibatalkan dan kebanyakan khidmat kereta api dan kereta api laju menuju ke Tokyo digantung.

Hagibis membadai pulau utama Jepun, Honshu, pada sekitar 7.00 malam (6.00 petang waktu Singapura) pada Sabtu. Ia merupakan antara taufan yang paling ganas sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan angin sekencang 216 kilometer sejam.

4 MAUT, 17 MANGSA HILANG

Sebelum taufan tersebut membadai, kesan ribut itu sudahpun meragut nyawa mangsa pertama, iaitu seorang pemandu van yang terbalik akibat angin yang begitu kencang.

Mangsa kedua yang disahkan mati adalah seorang lelaki berusia 60-an tahun yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di utara Tokyo.

Seorang lagi lelaki berusia 60-an tahun juga disahkan mati setelah beliau ditarik keluar dari rumahnya yang ditenggelami air di bandar Kawasaki, dekat Tokyo.

Mangsa keempat, seorang wanita, mengalami "kegagalan jantung" - iaitu istilah yang lazim digunakan di Jepun sebelum kematian disahkan oleh seorang doktor - setelah ditarik keluar dari rumahnya yang ditimbuni tanah runtuh di barat daya Tokyo, menurut laporan media tempatan.

Penyiar negara NHK menyatakan, sekurang-kurangnya 99 orang cedera dan 17 yang lain hilang menyusuli taufan tersebut, termasuk sebilangan mangsa yang dihanyutkan oleh air bah.

Meskipun Taufan Hagibis membawa angin kencang yang merosakkan rumah-rumah di Chiba, timur Tokyo, sebelum ribut itu sampai ke darat, hujan yang sangat lebat mendorong Agensi Meteorologi Jepun untuk mengeluarkan amaran tahap tertinggi dan menasihatkan orang awam supaya mencari tempat perlindungan.

PERLAWANAN RAGBI KETIGA DIBATALKAN

Ribut itu menyebabkan gangguan sebelum ia sampai ke Jepun. Pusingan saringan Grand Prix Jepun terpaksa ditangguhkan dan dua perlawanan Piala Dunia Ragbi pada Sabtu pula dibatalkan.

Pada pagi Ahad, pihak penganjur menyatakan pihaknya terpaksa membatalkan perlawanan ketiga, iaitu antara Namibia dengan Kanada, namun meneruskan dua perlawanan lain dan menimbangkan perlawanan keempat, iaitu antara Jepun dengan Scotland.

"Kami tiada pilihan lain selain membatalkan perlawanan itu atas sebab-sebab keselematan," kata pengarah kejohanan Alan Gilpin.

Pembatalan itu satu tamparan hebat kepada bandar utara Kamaishi, yang hampir lenyap dari peta menyusuli bencana tsunami 2011, dan menjadi tuan rumah temasya ragbi itu sebagai tanda kebangkitannya.

Kini, keputusan sama ada perlawanan kalah mati antara Jepun dengan Scotland di Yokohama akan diteruskan. Pasukan Scotland mengancam untuk mengambil tindakan guaman jika ia dilarang bermain dan disingkirkan secara automatik.  

Sumber : AFP/ZM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan