Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tantawi, pemimpin pertama Mesir pasca Mubarak meninggal dunia pada usia 85 tahun

Mohammed Hussein Tantawi, bekas ketua junta tentera yang memerintah Mesir selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan ketika tunjuk perasaan Arab Spring atau Kebangkitan Arab meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Tantawi, pemimpin pertama Mesir pasca Mubarak meninggal dunia pada usia 85 tahun

(Gambar: EPA)

Diterbitkan : 21 Sep 2021 10:00PM Dikemas Kini : 21 Sep 2021 10:02PM

KAHERAH: Mohammed Hussein Tantawi, bekas ketua junta tentera yang memerintah Mesir selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan ketika tunjuk perasaan Arab Spring atau Kebangkitan Arab meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Kematian Tantawi diumumkan Pejabat Presiden, pada Selasa (21 Sep).

Beliau dipecat oleh presiden pertama yang dipilih secara bebas di negara itu, Mohamed Morsi dan menghabiskan sisa hidupnya jauh dari pandangan umum.

Presiden Abdel Fattah al-Sisi memberi penghormatan kepadanya dalam satu kenyataan dengan menyifatkan Allahyarham sebagai anak Mesir paling setia.

"Beliau mengabdikan dirinya untuk berkhidmat kepada negara lebih separuh abad. Beliau adalah negarawan yang bertanggungjawab mengemudi negara pada waktu sukar," menurut kenyataan itu, merujuk kepada tempoh mencabar selepas revolusi 2011.

Presiden al-Sisi juga mengumumkan tempoh berkabung di atas kematian pemimpin terbabit, namun tidak memberikan jumlah harinya.

Media tempatan yang menyiarkan berita kematian Tantawi menyifatkan beliau sebagai seorang yang memberikan sepenuh jiwa raganya kepada negara.

Rombongan Kesatuan Eropah (EU) di Kaherah turut merakamkan ucapan takziah di atas pemergiannya menerusi Twitter dengan menyatakan Tantawi memainkan peranan penting sepanjang kerjayanya serta berkhidmat untuk Mesir selama puluhan tahun.

Sebagai veteran dalam politik dan perang Mesir, Tantawi pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan ketika era pentadbiran Mubarak dan sebagai Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Tentera.

Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan