Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tanah runtuh sekat laluan jalan raya Genting Highlands

Satu kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Genting-Amber Court di Genting Highlands dekat Kuantan, kira-kira 5.40 petang Selasa (5 Nov), kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Nov 2019 02:17PM Dikemas Kini : 06 Nov 2019 11:30PM

KUANTAN: Satu kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Genting-Amber Court di Genting Highlands dekat Kuantan, kira-kira 5.40 petang Selasa (5 Nov), kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini tiada kemalangan atau kematian dilaporkan dalam kejadian yang berlaku berhampiran dengan ruang pameran sebuah syarikat hartanah di situ.

“Tanah runtuh itu telah menyebabkan laluan ke sebuah apartmen di situ secara keseluruhannya ditutupi tanah dan buat masa ini, kerja pembersihan sedang dilakukan.

“Bagaimanapun, laluan yang terlibat bukan laluan utama ke pusat pelancongan tanah tinggi itu, sebaliknya jalan untuk ke kawasan lain di Genting Highlands” katanya semasa dihubungi Bernama pada Selasa.

Encik Nor Hisham berkata selain pihak bomba, operasi pembersihan juga dibantu kontraktor yang melakukan kerja pembinaan di tanah tinggi tersebut.

OPERASI PEMBERSIHAN HINGGA MALAM

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusry Abdullah Sani hari ini berkata operasi pembersihan tanah runtuh dijangka selesai malam ini. 

Beliau bagaimanapun berkata, operasi itu akan dihentikan sekiranya cuaca hujan kerana faktor keselamatan. 

"Ini kerana kami mendapati pergerakan tanah masih ada dan sesekali berlaku runtuhan kecil. Jika cuaca baik sepanjang hari, kemungkinan operasi boleh ditamatkan mengikut jadual. 

"Setakat ini, kita telah membuat laluan alternatif hanya untuk laluan turun menggunakan kenderaan ringan dan pejalan kaki sahaja," katanya semasa dihubungi BERNAMA hari ini. 

Encik Yusry berkata operasi pembersihan hari ini melibatkan 41 anggota pelbagai agensi seperti bomba, polis, Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta dibantu kontraktor swasta di pusat peranginan itu.

Beliau juga mengesahkan 200 pelancong yang dilaporkan terperangkap di dalam sebuah hotel dan pangsapuri perkhidmatan yang terletak berhampiran tempat kejadian juga sudah selamat dikeluarkan awal pagi tadi. 

"Mereka dibawa dengan berjalan kaki secara berperingkat dalam kumpulan kecil dengan kumpulan terakhir keluar pada 4.00 pagi tadi. Pihak hotel menyediakan kenderaan perantara untuk membawa mereka ke lokasi selamat," katanya. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan