Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tanah runtuh Pulau Pinang: Mayat ketiga ditemui

Mayat ketiga mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di George Town ditemukan dan dikeluarkan dari timbunan tanah kira-kira pukul 1.30 pagi tadi (20 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Tanah runtuh Pulau Pinang: Mayat ketiga ditemui

Para pegawai dekat lokasi kejadian tanah runtuh George Town, Pulau Pinang (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Oct 2018 08:29AM Dikemas Kini : 20 Oct 2018 08:32AM

GEORGE TOWN: Mayat ketiga mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di George Town ditemukan dan dikeluarkan dari timbunan tanah kira-kira pukul 1.30 pagi tadi (20 Okt).

Mayat Khin Aye Khaing, 33 tahun, seorang warga Myanmar ditemui oleh unit anjing pengesan (K9) tidak jauh dari lokasi mayat kedua dijumpai.

Timbalan Komander Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kejadian itu Mohd Tarmizi Mat Jaafar yang juga pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM ) Pulau Pinang berkata mayat wanita itu disahkan oleh suaminya yang merupakan pekerja di tapak pembinaan lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus.

Beliau berkata mayat wanita itu hanya dikeluarkan sejam selepas dijumpai berikutan terdapat sedikit kesukaran kerana keadaan tanah runtuh yang teruk di situ.

"Mayat wanita itu telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat," katanya kepada Bernama.

Petang semalam dua mayat ditemukan iaitu lelaki Indonesia, Samsul Asman, 19 tahun, dan lelaki Bangladesh Attrul, 35 tahun. Kejadian tanah runtuh pada pukul 1.56 tengah hari semalam itu turut menyebabkan tiga cedera dan 10 lagi dikhuatiri tertimbus.

Encik Mohd Tarmizi berkata pihak bomba turut mendapat bantuan daripada pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan. Beliau menambah anjing pengesan juga menemui satu lagi plot di lokasi kejadian dipercayai terdapat mangsa insiden tanah runtuh di situ dan pasukan SAR sedang berusaha mencarinya.

Terdahulu, Pengarah JBPM Pulau Pinang Saadon Moktar berkata pihak bomba dengan bantuan anjing pengesan mengenal pasti beberapa plot di lokasi runtuhan tanah itu dipercayai mempunyai mangsa tertimbus.

“Kerja mencari mangsa kini tertumpu di beberapa plot terbabit dan berharap mangsa yang tertimbus dapat ditemui.

“Setakat ini, operasi SAR tetap akan diteruskan dengan anggota akan bertugas mengikut jadual tugasan ditetapkan. Kami juga berharap semua mangsa yang masih tertimbus dapat dikeluarkan segera, walaupun terdapat kesukaran ekoran keadaan struktur tanah di lokasi kejadian,” kata beliau.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan